Misi PKFZ Ong belum selesai
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini menafikan bahawa peranannya dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) telah selesai dan bahawa ianya satu 'misi yang berjaya'.
Beliau yang juga menteri pengangkutan turut mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penubuhan sebuah pasukan petugas khas mengenai PKFZ.
Ong berkata, kementeriannya akan memberi kerjasama penuh untuk membantu siasatan yang dijalankan oleh pasukan petugas itu, yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negeri, Tan Sri Sidek Hassan.
Menurutnya, ini merupakan lanjutan terhadap usaha yang dimulakannya Oktober lalu.
Beliau menyifatkannya sebagai "pusingan terakhir" dan "tahap paling kritikal" kerana kuasa pasukan petugas khas itu melewati kementerian dan agensi.
Sementara itu, Bernama melaporkan Ong berkata, perkembangan itu menunjukkan kerajaan serius dan tegas dalam mencari penyelesaiannya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga-tenaga Isteri Menteri (BAKTI) kepada keluarga miskin di ibunegara hari ini.
Ong yakin pasukan petugas kerajaan itu akan mencapai matlamatnya demi ketelusan dan kepentingan rakyat dan menggariskan kerajaan bukan sahaja prihatin, malah kerajaan bertindak tegas.
"Saya ingin katakan bahawa ini merupakan pusingan akhir bagi keseluruhan usaha yang bukan sahaja penting tetapi pada masa yang sama akan membantu menyelesaikannya," kata Ong.
Ditanya sama ada beliau dan kementeriannya akan melepas tangan mengenai isu itu, Ong berkata pegawai kementeriannya juga menganggotai pasukan petugas itu dan beliau sendiri tetap memberi kerjasama sepenuhnya walaupun tidak disenaraikan.
"Saya juga akan tetap berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan integriti dalam menyiasat dan menyelesaikan masalah. Sekiranya ia melibatkan wang pembayar cukai yang perlu kita berusaha menebus kembali, maka ia satu-satunya tugasan kita untuk mendapatkannya," katanya.
Idea PKFZ itu diilhamkan kerajaan pada 1990-an bagi menjadikannya sebuah hab pemindahan ke kapal yang dibina di atas tapak seluas 405 hektar yang menempatkan gudang, blok pejabat dan hotel bertaraf empat bintang, diselubungi kontroversi selepas didedahkan bahawa kos pembangunannya melambung tinggi daripada kos asalnya yang kurang dari RM2.5 bilion meningkat kepada RM4.6 bilion.

