PKFZ: Polis ambil kenyataan Tiong
Polis memanggil pemilik syarikat pemaju Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Datuk Seri Tiong King Sing, untuk memberi kenyataan berhubung skandal projek tersebut.
Sesi soal siasat selama empat jam itu berlangsung di ibupejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) di Kuala Lumpur pagi tadi.
Pengarah CCID Koh Hong Sun mengesahkan kepada wartawan melalui telefon bahawa Tiong dipanggil untuk diambil kenyataan.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan perkara yang sedang disiasat oleh jabatan tersebut terhadap Tiong.
Para wartawan yang menunggu di luar ibupejabat CCID sejak pagi tadi melihat Tiong masuk kira-kira jam 10 pagi dan beredar pada jam 2.05 petang dalam kereta Mercedez Benz.
Walaupun jurugambar mengerumuni kereta tersebut, tetapi Tiong tidak berhenti untuk diambil gambar.
Tiong kemudiannya mengeluarkan kenyataan melalui setiausaha akhbarnya yang mengesahkan beliau disoal siasat berhubung skandal PKFZ.
"Saya lebih daripada bersedia untuk bekerjasama dengan polis. Saya akan beri kerjasama penuh," kata Tiong dalam kenyataan tersebut.
Beliau bagaimanapun enggan membuat komen lanjut kerana siasatan masih berjalan.

