PAS hari ini mencadangkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan bagi meminta kerajaan menjelaskan keengganannya menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat isu projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata sidang khas itu perlu bagi membolehkan semua anggota parlimen membahaskan penubuhan pasukan petugas khas yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Rabu lepas.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata kerajaan juga perlu menyediakan laporan hasil siasatan yang telah dilakukan oleh badan-badan lain sebelum ini dalam mengendalikan kes PKFZ seperti laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pasukan petugas tersebut untuk dikemukakan kepada Parlimen untuk dibahaskan.

Mahfuz berkata PAS akan meminta peguamnya meneliti peruntukan undang-undang yang ada bagi membolehkan suruhanjaya itu ditubuhkan.

PKFZ bertujuan menjadi hab pemindahan barang ke kapal dan dibina di atas tapak seluas 405 hektar bagi menempatkan gudang, blok pejabat dan hotel bertaraf empat bintang.

Namun ia diselubungi kontroversi selepas kos pembinaannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion. BERNAMA