Negeri Sembilan mempelawa belia pelbagai kaum dalam negeri untuk menyertai ekspedisi berkayak merentasi Selat Melaka yang dikenali 'Jejak Warisan-Kayak Rentas Sempadan 2009' anjuran kerajaan negeri dari 17 hingga 20 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Abd Samad Ibrahim berkata program yang julung kali diadakan itu akan melibatkan 200 peserta, membabitkan perjalanan sejauh 60 batu nautika dari Port Dickson ke Pulau Rupat di Sumatera, Indonesia.

"Program ini diadakan sempena pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Aktiviti ini juga akan dicatat dalam The Malaysia Book of Records sebagai acara kayak paling ramai merentasi Selat Melaka yang melibatkan seramai 200 orang peserta kayak," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu di Seremban hari ini.

Beliau berkata aktiviti ini dilihat sesuai bagi mengenang sejarah kedatangan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan, dan selain berkayak, program intergrasi antara belia Negeri Sembilan dan Indonesia turut diadakan.

"Kampung yang dipilih untuk program integrasi belia ialah Kampung Teluk Makmur, Sumatera," katanya dan menambah program itu mendapat kerjasama daripada Majlis Melayu Bangun Negeri Kota Dumai, Indonesia.

Abd Samad berkata selain merapatkan hubungan antara dua negara, program itu juga bertujuan untuk melahirkan golongan belia yang berdaya saing dan mampu melakukan aktiviti lasak.

Katanya mereka yang terpilih akan menjalani latihan pusat di pusat latihan kayak, Port Dickson.

Borang penyertaan boleh didapati di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan di sini serta di semua pejabat Belia dan Sukan daerah. Bayaran penyertaan RM50 seorang.

Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh diajukan kepada Anuar Normin dengan menelefon 012 37 02 164 atau Zubir Jamal (019 65 11 200). BERNAMA