"Kalau akak boleh bagi saya tempat tinggal, makanan dan sekolah di tempat asal saya, saya akan balik.

"Saya tak nak hidup susah, kat sini hidup susah juga tapi lebih senang dari di kampung," luah Cham, kanak-kanak lelaki Kemboja yang ditemui penulis di sebuah perkampungan di pedalaman Sabah dalam satu Operasi Pendatang Tanpa Izin.

Cham baru berusia 12 tahun dan merupakan seorang daripada ribuan kanak-kanak yang diseludup masuk ke Malaysia untuk bekerja atau tinggal sementara sebelum dihantar ke luar negara.

Kes seumpama Cham bukan perkara baru kerana Malaysia telah diketahui dijadikan lokasi transit aktiviti penyeludupan manusia.

Sejarah membuktikan Malaysia merupakan destinasi pelbagai manusia termasuk pedagang dari negara lain. Pedagang asing datang ke sini bagi aktiviti berdagang pelbagai barang termasuk hasil bumi seperti biji timah, getah dan kelapa sawit.

Aktiviti ini berlaku kerana kedudukan Malaysia yang terletak di tengah-tengah rantau benua Asia Tenggara yang dipisah dalam dua kelompok -- Kemboja, Laos, Thailand, Myanmmar, Vietnam dan Brunei, Filipina, Malaysia, Singapura, Indonesia serta Timor Timur.

Negara ini 'syurga janji'

Koordinator Anti Penyeludupan Manusia Tenaganita, Aegile Fernandez berkata disebabkan itu tidak hairanlah jika sindiket penyeludupan manusia mengambil kesempatan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum menempatkan 'barang dagangan' mereka ke negara lain.

Tenaganita ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memantau aktiviti dan membantu mangsa penyeludupan manusia ini.

Yang pasti negara ini juga dijadikan 'syurga' bagi meraih 'janji' ketua sindiket kononnya untuk mendapatkan keperluan dan kemahuan 'mangsa sindiket', katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata aktiviti penyeludupan manusia ini berkait rapat dengan pendatang asing.

Kebanyakan mereka yang digelar pendatang tanpa izin ditawarkan pelbagai pekerjaan dan janji manis oleh majikan atau pihak yang membawa mereka ke negara ini.

Menurut statistik Tenaganita, kini trend permintaan terhadap kanak-kanak dan wanita terutama untuk dijadikan buruh dan pelacur, semakin meningkat.

Statistik itu menunjukkan dari 1 Mei 2004 hingga Mei tahun ini, seramai 117 wanita dan 78 kanak-kanak asing terlibat dengan jenayah hamba zaman moden di negara ini.

"Antara mangsanya ialah kanak-kanak seawal usia 12 tahun hingga wanita yang telah bergelar warga emas. Ada di antara mereka ditipu dengan tawaran untuk mendapat pekerjaan dengan gaji yang tinggi dan sah walaupun natijahnya ia satu komplot untuk

menjadikan mereka mangsa penyeludupan manusia," kata Fernandez.

Kemahuan 'hamba moden'

Umum mengetahui bahawa keperluan asas menjadi punca kenapa ada yang sanggup secara sukarela diseludup ke negara lain untuk bekerja bagi mendapat kehidupan yang lebih baik daripada negara asal mereka.

Fernandez berkata bagi 'hamba moden' wanita, mereka memerlukan rumah, makanan dan pendapatan manakala bagi 'hamba moden' kanak-kanak pula mereka mencari tempat untuk berteduh, makanan mengisi perut yang lapar dan pendidikan untuk belajar.

Katanya keperluan asas ini tidak didapati di negara asal mereka dan sebab itu mereka perlu bergerak ke tempat yang boleh menawarkan apa yang diperlukan mereka bagi membantu keluarga dan mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Oleh itu, pendatang asing ini terpedaya dengan janji palsu penyeludup untuk memberikan keperluan yang mereka idam-idamkan.

"Mereka turut berjanji untuk memberikan kemahuan yang tidak disangka-sangka oleh pendatang asing seperti baju yang cantik, duit simpanan yang boleh dihantar ke kampung, kereta, motosikal, rumah dan pelbagai lagi bagi mengaburi pandangan mangsa," katanya.

Katanya ada mangsa yang bercinta dengan anggota sindiket ini, sanggup mengikut teman lelaki berhijrah ke negara lain demi cinta, duit dan kehidupan yang lebih baik.

"Selepas ditipu dan dipaksa menjadi pelacur barulah mereka tahu akan permainan cinta yang memakan diri mereka ini," katanya, yang turut menasihatkan wanita di negara ini agar tidak mudah terpedaya dengan ayat-ayat manis lelaki asing.

Jika teruk, human ke laut

Pelbagai istilah digunakan penyeludup dan dalang sindiket ini bagi mengklasifikasikan mangsa mereka mengikut pekerjaan tertentu.

Antaranya "female order bride" yang merujuk kepada wanita yang diseludup untuk melakukan pelbagai kerja bermula seawal pagi hingga lewat tengah malam bagi membayar wang pendahuluan atau pinjaman kepada ketua sindiket.

"Di waktu pagi, mereka menjadi penoreh getah, menjelang tengah hari menjadi pembantu rumah separuh masa, menyediakan makanan, membasuh baju atau mengemas rumah. Malam pula mereka menjadi pelayan nafsu murahan," katanya.

"Cash and carry" pula merujuk kepada pelacur sepenuh masa di mana pelanggan akan memilih pelacur daripada katalog yang diberikan pemandu teksi sebelum dibawa ke tempat pertemuan dan kemudian wang dibayar untuk perkhidmatan yang diberikan.

"Fisherman stowes" pula merujuk kepada mangsa buruh lelaki yang datang dari Kemboja, Filipina, Thailand dan Indonesia yang menjadi nelayan asing tanpa rela di sekitar perairan Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Fernandez berkata kebanyakan mangsa hanya diberikan cuti tiga hari dalam sebulan, bekerja tanpa henti siang dan malam di laut dan jika mereka sakit, tidak diberikan rawatan perubatan yang betul.

Jika sakit teruk dan ada yang mati, akan dihumban ke dasar laut.

Selalu mandi, rasa kotor

Akibat daripada apa yang dilalui, kebanyakan mangsa berhadapan dengan tekanan perasaan yang hebat, malah ada yang sanggup membunuh diri.

Fernandez berkata kebanyakan mangsa terutama wanita dan kanak-kanak yang ditemui berhadapan dengan tekanan psikologi yang teruk dan sukar untuk dipulihkan.

"Ada satu kes seorang mangsa yang diseludup dipaksa bekerja sebagai pelacur. Mangsa yang gagal cuba melarikan diri, melalui tekanan perasaan yang dahsyat dan akibatnya dia sering mandi dan mengasingkan diri daripada dunia luar kerana merasa diri teramat kotor," katanya.

Peristiwa hitam remaja dari Kemboja itu bermula pada usia 12 tahun apabila dibawa masuk ke Malaysia dan dihantar ke England.

Remaja itu pernah cuba melarikan diri daripada sindiket itu, namun gagal dan akibatnya dikenakan hukuman dibogelkan dan diikat terbalik dengan kaki ke siling dan jarinya dimasukkan ke dalam soket elektrik," katanya.

Tenaganita berjaya menyelamatkan remaja itu semasa usianya 16 tahun. Tetapi ketika itu dia sudah dijangkiti virus HIV dan kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan, katanya.

Beliau berkata mangsa sehingga kini masih lagi mengalami trauma dan sentiasa berfikir untuk membunuh diri selain enggan menjalani pemeriksaan di hospital dan menemui ibu bapanya.

Terdapat mangsa sindiket ini yang dikurung, diberikan heroin dan kokain supaya tidur di waktu siang manakala dipaksa makan ecstasy pada waktu malam untuk melayan pelanggan, katanya.

Fernandez berkata sikap masyarakat yang enggan mengambil peduli apabila melihat aktiviti mencurigakan, perlu diubah.

"Jiran mangsa sekadar melihat tanpa bertanyakan apa-apa apabila ada aktiviti yang mencurigakan di kawasan mereka... sepatutnya kena jaga tepi kain orang dengan melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya. BERNAMA