Pemimpin Umno serta daripada parti komponen BN berhak menyuarakan pandangan daripada akar umbi berhubung kemelut kepimpinan dalam MIC, tetapi tidak seharusnya campurtangan secara langsung dalam isu berkenaan, kata seorang pemimpin Umno.

Ketua pemuda Umno Selangor Mohamad Shukor Idrus juga berkata isu kepimpinan melibatkan presiden parti itu, Datuk Seri S. Samy Vellu, harus diselesaikan secara bersungguh-sungguh melalui mekanisme parti itu sendiri untuk membolehkan MIC kekal relevan di dalam BN.

Mohamad Shukor, yang juga ADUN Kuang ketika dihubungi hari ini mengakui wujudnya penolakan terhadap MIC daripada pemimpin-pemimpin parti komponen BN, termasuk Umno.

Namun, jelasnya, beliau tidak mengetahui sekiranya terdapat pemimpin Umno yang turut sama bersekongkol untuk menjatuhkan presiden MIC itu.

"Mengenai itu, saya tidak ada maklumat," kata Mohamad Shukor apabila ditanya mengenai laporan Malaysiakini sebelum ini mengenai seorang menteri daripada Umno yang bekerjasama dengan seteru Samy Vellu bagi tujuan berkenaan.

"Biarlah MIC selesaikan sendiri krisis kepimpinan dalam parti mereka. Orang lain tidak berhak masuk campur dan bersekongkol untuk lemahkan MIC.

"Tapi kita berhak beri pandangan sebagai pemimpin dalam parti komponen BN untuk memastikan MIC kuat dan dapat meraih sokongan daripada masyarakat," tegasnya lagi.

Tambahnya, Samy Vellu perlu berundur segera untuk megelakkan MIC menjadi beban yang lebih besar kepada BN menjelang pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Samy Vellu perlu mengambil teladan daripada pemimpin-pemimpin BN lain yang mengundurkan diri apabila tidak lagi menerima sokongan daripada parti.

"Umno sudah tukar presiden sebanyak tiga kali dalam tempoh Datuk Seri Samy Vellu menjadi presiden MIC. Seperti juga MCA, Gerakan dan parti-parti lain.

"Kita cuma suarakan pandangan daripada akar umbi. Inilah pandangan yang saya dapat daripada rakyat biasa dan golongan profesional masyarakat India.

"Rata-rata berkata mereka ingin melihat perubahan dalam kepimpinan MIC. Kita kena suarakan perkara ini. Kita takut nanti MIC cuma tinggal sebagai bahan sejarah saja.

"Yang penting, isu ini perlu diselesaikan segera. Saya percaya MIC akan kembali kukuh sekiranya isu ini dapat diselesaikan," tambahnya.