Murugiah tidak akan sertai mana-mana parti bukan BN
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah yang dipecat dari Parti Progresif Penduduk (PPP) berkata hari ini beliau tidak berhasrat menyertai mana-mana parti bukan Barisan Nasional (BN) atau menubuhkan parti baru.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah yang dipecat dari Parti Progresif Penduduk (PPP) berkata hari ini beliau tidak berhasrat menyertai mana-mana parti bukan Barisan Nasional (BN) atau menubuhkan parti baru.
Beliau berkata tiada juga sebab untuknya menyertai parti pembangkang kerana amat berpuas hati dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggapnya prihatin dan bekerja kuat untuk rakyat.
Menurutnya, beliau tidak mahu menubuhkan parti baru kerana sudah terlalu banyak parti yang mewakili kaum India dan penubuhan satu lagi parti baru hanya akan memecahbelahkan rakyat.
Bagaimanapun, Murugiah yang telah berjumpa dengan pucuk pimpinan BN berkata beliau akan mengetahui hala tuju karier politiknya dalam masa dua bulan lagi dan akan akur terhadap apa jua keputusan yang dibuat ke atasnya.
Beliau akan mengikut nasihat pucuk pimpinan BN untuk bersabar dalam tempoh itu.
Masalah tanah Sekolah Tamil
Murugiah bercakap kepada pemberita selepas mendengar kes aduan masalah tanah SRJK (Tamil) Gelang Patah di Biro Pengaduan Awam di sini.
Mengenai isu tanah sekolah itu yang dituntut pihak swasta untuk tujuan pembangunan, Murugiah berkata ianya sudah selesai apabila kerajaan negeri bersetuju untuk memperuntukkan tanah seluas 2.43 hektar di Taman Nusantara, Gelang Patah bagi menempatkan semula sekolah itu.
Lembaga sekolah itu katanya hanya perlu membuat permohonan segera supaya Kementerian Pelajaran dapat membantu melakukan pembinaannya.
Menurutnya, pihak swasta juga telah setuju untuk menangguhkan notis pengosongan tanah sehingga sekolah baru yang akan diberikan status bantuan penuh itu siap.
Sehubungan itu beliau berharap agar masyarakat khasnya kaum India tidak menaruh persepsi negatif bahawa kerajaan sengaja mahu menutup sekolah jenis kebangsaan Tamil.
Bahkan katanya, masih ada sekolah Tamil yang terus dibenarkan beroperasi walaupun hanya mempunyai dua atau tiga orang murid. - Bernama

