Penuntut tiba dari Padang ditempatkan di UPM
Penuntut-penuntut Malaysia yang belum dijemput ibu bapa mereka selepas tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau di Padang, akan ditempatkan sementara di Kolej Kediaman 13 dan 17, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang.
Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Radin Umar berkata ibu bapa boleh menghubungi UPM di talian 019-3386571 dan 017-2835536 untuk mendapatkan maklumat mengenai anak mereka.
Seramai 323 penuntut Malaysia di Padang selamat sampai di tanah air dengan pesawat pengangkut TUDM jenis Hercules hari ini, lapor Bernama.
Kumpulan pertama seramai 182 penuntut tiba pada 5.05 pagi manakala kumpulan terakhir seramai 23 penuntut tiba pada 8.30 pagi ini.
Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay yang turut berada di Subang bagi menyambut mereka berkata semua penuntut itu dibawa pulang menerusi empat penerbangan dengan pesawat TUDM.
Kumpulan pertama tiba
Sebelum itu, Bernama melaporkan, kumpulan pertama 182 penuntut dibawa pulang ke tanah air dengan pesawat TUDM awal pagi ini sejurus Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau di Padang dibuka semula.
Ketibaan mereka pada jam 5.05 pagi di pangkalan TUDM di Subang disambut Kohilan dan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Radin Umar serta ibu bapa mereka.
Para penuntut itu, yang merupakan sebahagian daripada 323 penuntut Malaysia yang dibawa pulang dengan pesawat pengangkut TUDM jenis Hercules, masih trauma dan panik walaupun kelihatan lega tiba di tanah air sejurus menjejakkan kaki di pangkalan TUDM.
Antara yang tiba ialah seorang penuntut yang hanya dikenali sebagai Fernisha, yang mengalami kecederaan tulang belakang akibat dihempap runtuhan batu, dan beliau segera dibawa ambulans ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Ketika ditemui, beberapa penuntut menceritakan detik-detik cemas kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter itu, yang setakat ini telah mengorbankan 770 orang dan mencederakan 294 orang.
Penuntut tahun pertama Fakulti Kedoktoran Universitas Andalas, yang baru mendaftar pada Ogos lepas, Milfasari Muzammil dan Shangeeta Krishnan tidak menyangka gegaran yang mereka alami setiap hari itu akan berakhir dengan tragedi.
Milfasari, 19, berkata beliau sedang berkumpul bersama rakan-rakan di Fakulti Kedoktoran apabila gempa bumi melanda kota Padang.
Bekalan terputus
"Selepas kejadian gempa itu, kami kehilangan arah untuk beberapa jam kerana keadaan gelap gelita akibat bekalan elektrik dan komunikasi terputus. Selepas itu kami terpaksa berjalan sejauh lima kilometer ke kawasan bukit untuk mendapatkan perlindungan," katanya yang kelihatan pucat dan tidak bertenaga.
Shangeeta, 19, pula berkata beliau sedang menghadiri kuliah perubatan bersama rakan-rakan semasa kejadian itu berlaku.
"Saya tak menyangka kurang tiga bulan kami di Padang, kami akan mengalami kejadian buruk seperti ini. Saya bersyukur kerana saya dan rakan-rakan selamat.
"Selepas gempa berlaku, saya lihat semua (rakan) tunduk sambil mencangkung seperti mana yang diajar kepada kami kerana hampir setiap hari berlaku gegaran kecil," kata Shangeeta yang dilihat tidak sabar-sabar dibawa bertemu dengan keluarganya yang sabar menanti kepulangannya sejak 12 tengah malam.
Katanya, mereka kemudian berlari ke kawasan lapang bagi mendapatkan pertolongan sambil melihat satu persatu bangunan di sekeliling universiti itu runtuh akibat gempa berkenaan.
Pelajar tahun empat Fakulti Perubatan di universiti sama, Suresh Rao Sandubaboo pula berkata sejak beliau belajar di sana, ini merupakan kejadian paling buruk yang pernah dialami.
"Saya tidak menyangka berlakunya gempa kerana ketika itu sedang membuka pintu rumah sewa... berkali-kali saya cuba tetapi kunci seperti rosak. Apabila kunci terjatuh di lantai, baru saya sedar ada gegaran besar kerana kepala saya pening," katanya.
Bangunan universiti rosak
Akibat kejadian itu, katanya, bangunan universitinya rosak hampir 50 peratus dan mungkin mengambil masa sebulan untuk dibaiki.
"Kami semua diberikan cuti darurat oleh pihak universiti dan hanya akan menyambung semula pengajian setelah keadaan disahkan selamat.
Bagi penuntut tahun pertama Fakulti Perubatan, Shangeetha Nagarajan, 18, beliau masih trauma dan ketakutan dengan kejadian itu.
Menurutnya beliau berada dalam kelas kerana mengikuti taklimat penuntut baru apabila dikejutkan dengan bunyi bising sebelum menyaksikan kejadian gempa berlaku di depan mata.
"Ketika kejadian, dinding kampus semua dah jatuh, di sekitar kampus ada rumah yang ranap, ada rumah terbakar... ia memang pengalaman yang menakutkan," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak cedera dan amat bersyukur kerana terselamat dalam bencana itu.
"Dalam keadaan panik itu, saya tidak terfikir untuk berlari, bagaimanapun saya amat bertuah kerana ketika itu penuntut senior menjaga kami dan membawa kami ke tanah lapang," kata penuntut dari Negeri Sembilan itu.
Pelajar cerita pengalaman
Penuntut Syariah Institut Agama Islam Agama, Imam Bonjol, Padang, Azrul Aminurasshid Mohd Ali, 23, pula berkata ketika kejadian beliau sedang mengikuti kuliah.
"Kira-kira 5.30 petang (waktu tempatan), keadaan pada mulanya hanya gegar biasa tetapi tiba-tiba gegaran jadi lebih kuat dan kami semua bertempiaran lari sebab kelas di tingkat dua. Keadaan ketika itu memang bahaya kerana bangunan universiti sudah retak," katanya.
Azrul juga berkata beliau masih trauma melihat beberapa rakannya cedera dan ramai yang terkorban akibat gempa bumi itu.
"Saya nampak ada orang dihempap bangunan yang runtuh...ada juga penuntut Malaysia yang cedera akibat terkena kepingan zink di mukanya," katanya yang berlari ke tempat lapang sebaik sahaja kejadian itu berlaku.
Beliau mengakui masih terkejut dengan keadaan itu dan bimbang untuk pulang semula ke Padang.
Bagi penuntut tahun empat Perubatan Universitas Andalas, Marwiza Abdul Ghani, 25, kejadian gempa ini yang paling teruk dialaminya setelah melalui kira-kira 30 insiden gempa di Padang.
Ketika kejadian itu, beliau berada di rumahnya di kawasan kampung Minahasa dan beliau terdengar bunyi bising dan pelik selain ada gegaran.
"Memang bergegar kuat... kalau dahulu (ketika gempa) saya masih boleh berlari keluar, tapi kali ini memang sangat kuat sehinggakan tidak boleh berdiri langsung. Nak keluar dari rumah memang sangat susah sampai saya terjelepuk di kawasan pagar," katanya.
Bagaimanapun, Marwiza bersyukur kerana dapat keluar dari rumahnya dan berlari ke kawasan lapang tanpa sebarang kecederaan.

