Anggota pergerakan Puteri Umno perlu bersikap matang dan bersatu bagi membuktikan bahawa pergerakan itu relevan dan layak mendapat pengiktirafan sebagai satu sayap parti yang suaranya didengari, kehendaknya dihormati, dan pandangannya diperakui, kata ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata pergerakan itu perlu membuktikan yang kewujudannya bukan sekadar tempelan, dan kekuatannya bukan sekadar untuk berkempen bagi merayu undi ketika pilihan raya sahaja tetapi ia juga perlu dilibatkan "dalam perkara-perkara yang lebih besar".

"Jangan pula apabila membabitkan perkara yang lebih besar Puteri Umno dipinggirkan. Kami mahu duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan dua lagi sayap Umno iaitu Pemuda dan Wanita," katanya dalam ucapan dasar sulung yang bertema 'Menggarap 1Perjuangan, Mengukuh Puteri, Menjulang Parti' pada perhimpunan agung pergerakan itu di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, untuk memastikan pergerakan itu terus relevan ia perlu datang dari dalam Puteri sendiri, yang perlu memperbetulkan kelemahan yang ada didalam parti, serta sentiasa menilai arah tuju pergerakan itu.

Rosnah seterusnya mengingatkan anggota pergerakan itu supaya jangan ada yang menjadi gunting dalam lipatan, atau menjadi api dalam sekam yang perlahan-lahan membakar dan menyemarakkan api kebencian sesama mereka hingga menggugat penyatuan dan kekuatan pergerakan itu.

Katanya, beliau tidak mahu pergerakan itu yang diwujudkan untuk menguatkan parti sebaliknya menjadi beban kepada Umno, malah menurutnya Puteri "sepatutnya bergerak menggempur musuh-musuh di luar dan bukannya berdendam atau bercakaran sesama sendiri.

"Sebab itu bibit-bibit perpecahan ekoran pemilihan dahulu tidak boleh dibiarkan bersisa dalam pergerakan ini," katanya.

Menyentuh mengenai pindaan perlembagaan parti yang akan dibentangkan esok, Rosnah berkata cadangan membolehkan ketua sayap cawangan menandatangani borang untuk permohonan anggota baru, akan memudahkan orang ramai menjadi anggota Umno dan menjadikan parti itu tidak eksklusif untuk golongan tertentu sahaja.

Rosnah dalam ucapannya turut meminta kerajaan supaya tidak akur kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Indonesia dalam isu berkaitan pembantu rumah, dan menurutnya kerajaan perlu mengambil kira kesan negatif yang dibawa oleh syarat-syarat itu kepada majikan.

"Ambil contoh persetujuan memberi cuti sehari kepada pembantu rumah dan membenarkan mereka menyimpan pasport sendiri. Kesannya, kebaikan kepada pembantu rumah adalah sedikit jika dibandingkan dengan risiko yang ditanggung majikan," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya sumber tenaga kerja itu perlu dipelbagaikan dan tidak hanya bergantung kepada satu negara iaitu Indonesia sahaja.

Rosnah, yang juga timbalan menteri kesihatan, turut mencadangkan penubuhan sebuah Universiti Perubatan Melayu untuk mengkaji amalan tradisional dan perubatan sisipan yang boleh dijadikan platform bagi anak-anak Melayu meneruskan legasi dalam bidang perubatan.

Katanya penubuhan universiti itu bagi memartabatkan kembali amalan perubatan dan mengupayakan kepakaran masyarakat Melayu. BERNAMA