Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ong, Chua berdamai demi kebaikan parti
Diterbitkan:  Oct 22, 2009 12:34 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Selepas setahun bertelagah, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek akhirnya bersetuju untuk berdamai dan mengenepikan pergeseran antara mereka.

Kedua-duanya - yang sebelum ini sering melontar tuduhan antara satu sama lain - mengumumkan 'genjatan senjata' itu dalam satu sidang akhbar bersama di ibupejabat MCA di ibunegara hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Presiden MCA yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

NONE Bagaimanapun, terdapat kemungkinan krisis kepimpinan MCA itu belum selesai sepenuhnya kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) boleh mengubahnya.

Terdapat spekulasi bahawa ROS boleh membatalkan penggantungan Chua dan melantiknya semula ke jawatan timbalan presiden, sekaligus merumitkan kedudukan Liow yang baru dilantik memegang jawatan tersebut dan seorang lagi naib presiden, Datuk Kong Chor Ha.

Liow dan Kong dikatakan dua pemimpin yang masing-masing bakal mengisi dua jawatan tertinggi - Liow sebagai presiden dan Kong sebagai timbalannya - selepas Ong dan Chua.

Para pemerhati berkata, ketegangan jelas kelihatan apabila Liow dan Kong nampak keberatan untuk menghadiri sidang akhbar hari ini, menyebabkan ianya terlewat 10 minit.

Dalam sidang akhbar tersebut, Ong membaca kenyataan yang berbunyi, beliau dan Chua sudah bersetuju untuk "bekerjasama sebagai satu pasukan" bagi menyatu dan memperkukuhkan semula MCA - parti komponen kedua terbesar dalam BN - yang sedang dilanda krisis kepimpinan.

Beliau juga mendedahkan bahawa Chua bersetuju untuk bekerjasama dengannya "tanpa sebarang syarat".

NONE "Ini adalah masanya untuk bermaaf-maafan dan melihat pada persekitaran yang lebih luas mengenai apa yang baik untuk parti dan bukannya untuk individu," katanya.

Presiden MCA itu juga mendedahkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberi maklumat mengenai pelan damai tersebut dan telah merestuinya.

Walaupun mengakui ada menemui Najib semalam, Ong bagaimanapun menafikan bahawa 'formula damai' itu dicapai ekoran tekanan daripada Najib, yang juga pengerusi BN.

Selain daripada itu, Ong juga akan bekerjasama rapat dengan Liow sebagai timbalan presiden.

NONE Ong juga akan berbincang dengan setiausaha agung MCA, Datuk Wong Foon Meng untuk meneliti semula keputusan untuk mengadakan satu lagi mesyuarat agung luar biasa.

Ong juga berjanji untuk menemui semua pemimpin dalam usaha menjadikan MCA satu parti yang 'inklusif' yang menyediakan ruang untuk semua pihak yang bertelagah untuk bekerjasama sebagai satu pasukan.

Ditanya mengenai peranan Chua dalam parti, Ong menjawab: "Ianya terlalu awal untuk menyatakannya".

Ditanya sama ada mereka boleh bekerjasama memandang pergeseran antara mereka selama ini, beliau berkata: "Saya optimistik dan menaruh harapan bahawa dengan komitmen kami kepada parti, kami akan melakukannya."

Ditanya sama ada beliau akan mengotakan janjinya dan meletakkan jawatan selepas kalah dalam usul undi tidak percaya terhadapnya, Ong cuba memberi justifikasi terhadap alasannya untuk tidak berbuat demikian.

NONE "Kita mengambil kira sepenuhnya keputusan EGM, termasuk interpretasi keputusan undian. Jadi, kerana itulah sebabnya Chua dan Liow semua ada di sini," katanya.

Ong menambah, beliau telah menerima banyak galakan daripada orang ramai supaya meneruskan "urusan yang belum selesai" seperti menyatu padukan semula puak-puak yang bertelagah.

Oleh itu, katanya, atas nama amanah rakyat, adalah adil sekira beliau selaku presiden MCA melakukan apa yang diharapkan oleh para ahli dan rakyat," katanya.

Ditanya sama ada Liow akan kekal memegang jawatan timbalan presiden, Ong berkata: "Masalah itu tidak timbul kerana CC (jawatankuasa pusat) telah memilih beliau sebagai timbalan. Tiada apa-apa perubahan."

Ditanya komennya, ketika ditemui kemudiannya, mengenai pelan damai tersebut, Liow hanya berkata: "Demi perpaduan parti, saya menerima formula tersebut."

"Tetapi mengenai butirannya, saya perlu menyemak dengan CC terlebih dahulu sebelum membuat sebarang komen," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS