'Geng 3' desak mesyuarat CC bincang pelan damai
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini berdepan dengan tekanan baru daripada bekas penyokong setianya berhubung pelan damai yang dicapainya dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek.
Timbalan Presiden yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong berkata hari ini bahawa mereka tidak tahu menahu mengenai pelan terbabit.
"Ong memaklumkan kepada kita (anggota jawatankuasa pusat) bahawa ia satu pelan perpaduan (sebelum diumumkan), tetapi tidak menjelaskan kandungannya," dakwa Liow.
Dalam sidang akhbar di ibupejabat MCA hari ini, ketiga-tiga mereka dan 11 lagi anggota jawatankuasa pusat (CC) menggesa supaya diadakan satu mesyuarat baru untuk menjelaskan kandungannya.
Mereka juga mengedarkan kenyataan yang tidak ditandatangan, yang dikatakan telah dipersetujui oleh "majoriti" anggota CC.
Chew berkata, "kesemua anggota CC kecewa kerana mereka tidak diminta memberi pandangan", manakala Wee pula berkata "semuanya boleh menerima pelan perpaduan".
Bagaimanapun, Wee juga berkata parti itu bukan terletak di tangan seorang atau dua individu, kerana terdapat 930,000 ahli parti yang juga perlu diambilkira.
Di bawah pelan damai tersebut, Ong dan Chua bersetuju untuk menamatkan pergeseran yang berlarutan antara mereka demi kepentingan dan perpaduan parti.
Pelan itu bersetuju Ong kekal sebagai presiden walaupun beliau kalah dalam usul tidak percaya terhadapnya sewaktu mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pada 10 Oktober lalu.

