Timbalan Presiden MCA yang baru Datuk Seri Liow Tiong Lai tetap berkeras bahawa pelan Perpaduan MCA perlu telus dan difahami oleh semua ahli Jawatankuasa Pusat (CC) dan ahli parti untuk dilaksanakan.

Beliau berkata sekiranya ahli parti tidak faham secara terperinci mengenai pelan perpaduan itu, beliau meragui bagaimana hendak melihat pelan itu berhasil.

"Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, jika mahu rancangan perpaduan itu berhasil, ia perlu mendapat sokongan dari semua pihak termasuk delegasi, CC dan ahli parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Dunia Persatuan Antarabangsa Kesihatan Remaja kali ke-9, di ibunegara hari ini.

Pelan Perpaduan itu merupakan satu rancangan yang dipersetujui oleh Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek minggu lepas dalam usaha menyelesaikan perbalahan antara mereka demi perpaduan parti.

Liow yang juga menteri kesihatan berkata semasa perbincangan diadakan antara Ong dan Dr Chua mengenai pelan perpaduan itu, beliau tidak turut serta dalam perbincangan tersebut, dan menurutnya beliau hanya dimaklumkan sahaja mengenainya.

Pada 22 Oktober lepas, Ong dan Dr Chua bersetuju untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi menyatupadukan MCA dan menyelesaikan krisis parti tersebut di bawah "pelan perpaduan besar", namun Selasa lalu, beberapa anggota Jawatankuasa Pusat (CC) yang diketuai Liow berkata mereka tidak dirunding mengenai pelan yang diumumkan itu. - Bernama