Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB tidak boleh arah ADUN undur: PM
Diterbitkan:  Oct 29, 2009 6:23 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak boleh mengarahkan ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meletak jawatan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"ADUN itu boleh membuat keputusannya sendiri. Beliau mungkin tidak mahu meletakkan jawatan," kata Najib.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mencadangkan kepada Majlis Tertinggi PKR supaya meminta ADUN Pelabuhan Klang itu meletakkan jawatan kerana tidak tidak menunjukkan prestasi yang baik, lapor Bernama.

Semasa ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) bersedia untuk pilihan raya kecil, Perdana Menteri berkata:

"Kita akan lihat dulu. Lebih baik jangan bercakap mengenainya, biar dia (Badrul Hisham) sebagai wakil yang dipilih, sama ada beliau perlu meletak jawatan atau tidak..semuanya pilihan beliau."

Awal bulan ini, kehadiran Badrul Hisham di rumah terbuka Hari Raya Ketua Umno Klang Datuk Mazlynoor Abd Latif menimbulkan persoalan mengenai kesetiaannya terhadap parti.

Badrul menang kerusi DUN Pelabuhan Klang dalam pilihan raya umum dengan majoriti 4,407 undi, ekoran rasa tidak puashati terhadap bekas ADUN kontroversi Umno, Datuk Zakaria Md Deros.

Badrul merupakan ADUN pembangkang kelima yang keluar parti, selepas tiga ADUN di Perak (dua PKR, satu DAP) dan seorang lagi ADUN PKR di kedah dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Ditanya mengenai tindakan dua pemimpin PKR Sabah meletakkan jawatan, Najib berkata keadaan itu menunjukkan kedua-dua pemimpin berkenaan sudah hilang keyakinan terhadap parti itu.

"Maknanya terdapat ketidakyakinan yang serius yang membawa kepada peletakan jawatan mereka. Kenapa hilang keyakinan? Saya pasti orang ramai boleh membuat kesimpulan mereka," katanya.

Datuk Dr Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai naib presiden parti itu manakala bekas timbalan ketua PKR Sabah, Christina Liew melepaskan jawatannya sebagai ahli majlis tertinggi parti itu.

Krisis MCA

Mengenai krisis MCA, Najib berkata, apa sahaja penyelesaiannya, ia mesti menjadikan parti itu lebih kuat bagi mendapatkan semula keyakinan masyarakat kaum Cina dan rakyat Malaysia.

Katanya, beliau telah bertemu para pemimpin MCA dan mahu mereka menyelesaikan masalah yang melanda parti itu.

"Beri sedikit masa, kami akan mendapat penyelesaiannya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Inovasi Negara di ibunegara hari ini.

Najib mengulas "pelan perpaduan hebat" Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalan presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mendapat kritikan hebat anggota jawatankuasa pusat MCA berikutan sesetengah daripada mereka

mendakwa tidak dirunding mengenai maklumat terperinci pelan itu.

Ketika ditanya mengenai ketidakjujuran dalam pelan hebat itu, Najib berkata, berkata beliau telah menasihatkan para pemimpin MCA bahawa mereka mesti komited bagi menjadikan parti itu lebih bersatu dan kukuh.

"Nasihat saya kepada mereka ialah apa sahaja penyelesaiannya, ia perlu menjadikan MCA lebih kuat.

"Beri masa...saya tidak mahu berdebat mengenai apakah tindakan yang sepatutnya diambil, secara umum lagi," katanya.

ADS