Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco salahkan MBSA isu roboh tokong
Diterbitkan:  Oct 29, 2009 11:54 AM
Dikemaskini: 11:55 AM

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah di Selangor perlu merujuk kepada kerajaan negeri sebelum mengambil tindakan merobohkan semua jenis rumah ibadat yang dibina secara haram.

Exco kerajaan negeri dan juga pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam, Dr Xavier Jayakumar berkata semua PBT dan pejabat daerah diarah merujuk kepada anggota exco negeri terbabit jika ingin mengambil tindakan itu.

Katanya, semua rumah ibadat yang telah dibina sebelum Mac tahun lepas akan dibenarkan beroperasi manakala sebarang struktur dan binaan tempat ibadat baru selepas itu perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri.

"Sebenarnya arahan merujuk kepada anggota exco negeri itu telah dikeluarkan sejak tahun lepas," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meroboh tokong 'datuk' di Jalan Persiaran Kerjaya, Seksyen U1, 21 Okt lepas.

Katanya, kerajaan negeri menyalahkan MBSA kerana meroboh tokong itu tanpa merujuk terlebih dahulu dengan kerajaan negeri.

"Kita sedar MBSA sebenarnya tidak perlu memberikan notis kepada penjaga tokong itu kerana ia dibina di atas tapak yang tidak diluluskan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai status tokong 'datuk' yang dirobohkan, Dr Xavier berkata pihaknya membenarkan tokong itu beroperasi sehingga hujung tahun ini sementara mendapatkan lokasi yang baru.

Pada Jumaat lepas, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohtar Hani berkata MBSA tidak merobohkan rumah ibadat seperti yang didakwa sebaliknya ia merupakan struktur haram bagi menjalankan kegiatan perjudian.

Katanya, struktur itu dibina di atas tanah Jabatan Kerja Raya daerah Petaling tanpa kelulusan PBT. BERNAMA

ADS