Seorang bekas ketua menteri di wilayah timur India disiasat oleh Jabatan Hasil kerana membawa keluar wang secara haram dari

negara itu dan menyimpannya di Malaysia dan beberapa bank di luar negara.

Kegiatan tersebut dilakukan menerusi sistem 'hawala' iaitu memindahkan wang dengan menggunakan khidmat rangkaian broker yang berpangkalan di Mumbai.

"Kami telah merampas dokumen berkaitan dengan pelaburan dan penghantaran wang ke Dubai, Thailand, Malaysia dan negara asing yang lain," menurut laporan akhbar Pioneer yang memetik Ujjwalkumar Chaudhary, seorang pegawai penyiasat jabatan berkenaan.

Ahli politik berusia 38 tahun itu kini disiasat kerana skandal rasuah ketika memegang kuasa - sebahagian besarnya kerana menyimpan wang haram sehingga US$100 juta (RM350 juta) dalam bank di luar negara.

Dia juga didakwa memperoleh lombong di Liberia bernilai hampir US$1.7 juta (RM5 juta) dengan menggunakan nama rakan sekutunya ketika dia menjadi menteri galian dan geologi negeri antara tahun 2003-2006.

Dia, yang disiasat mengikut Akta Penggubahan Wang Haram, merupakan bekas ketua menteri dari tahun 2006 hingga 2008 dan kini menjadi ahli parlimen bebas di kawasan perkampungan asalnya.

Bekas ketua menteri itu adalah anak kepada seorang buruh di perkampungan pedalaman di Jharkhand dan dia sendiri berkerja sebagai buruh sebelum menceburi bidang politik.

Dalam siri siasatan Sabtu lepas, pegawai hasil menyerbu 70 premis, kebanyakannya berkait dengan ahli politik tersebut di lapan bandar raya di negara itu.

Pegawai berkenaan telah merampas banyak dokumen dan peralatan komputer berkaitan dengan transaksi bank.

Menurut siasatan awal, ahli politik itu juga telah membuat pelaburan bernilai hampir US$300 juta (RM1 bilion) dalam syarikat tempatan.

Skandal rasuah ahli politik itu terbongkar selepas kerajaan negeri mula menyiasatnya sejak bulan lepas kerana mengumpul harta yang tidak setanding dengan jumlah pendapatannya. BERNAMA