Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengiktiraf Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai timbalan presiden MCA yang sah dibuat berdasarkan kepada undang-undang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Najib yang juga pengerusi BN berkata ianya dibuat berdasarkan interpretasi ROS terhadap perlembagaan parti itu.

Perlembagaan parti itu, katanya, menetapkan peruntukan tertentu yang memerlukan majoriti dua pertiga untuk memecat seorang, sama ada dilantik atau dipilih.

Berdasarkan itu, kata Najib, maka ROS memutuskan Chua masih timbalan presiden dan begitu juga dengan kedudukan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai presiden.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Parlimen, Najib berkata ROS perlu konsisten dan tidak boleh membuat dua keputusan yang berbeza apabila kesnya adalah sama.

Menurutnya, MCA telah memutuskan bahagian perlembagaan tersebut manakala ROS pula hanya menginterpresasi perlembagaan berkenaan.

Keputusan ROS itu dimaklumkan kepada ibupejabat MCA melalui suratnya, sebelum jawatankuasa pusat MCA bermesyuarat semalam.

ROS menjelaskan tidak berlaku kekosongan bagi jawatan tersebut kerana keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pada 10 Oktober lalu tidak memenuhi syarat majoriti dua pertiga, seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 35 Perlembagaan MCA.

Chua dipecat pada 26 Ogos lalu, tetapi jawatankuasa pusat kemudiannya telah membatalkanya pemecatannya tetapi menggantung keahliannya selama empat tahun.

Berikutan itu, naib presiden MCA, Datuk Seri Liow Ting Lai telah dilantik mengisi jawatan timbalan presiden pada 15 Oktober lalu.

Semalam, Liow memberitahu satu akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat MCA di ibunegara bahawa beliau masih timbalan presiden.

Menurutnya, beliau mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan ROS itu.

Malah, katanya, jika perlu, beliau akan membawa perkara itu ke mahkamah.

ADS