Azizah disiasat 2 jam, penyokong ditahan reman
Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini disoal siasat hampir dua jam selepas didakwa terlibat dalam satu 'perhimpunan hari keluarga tanpa permit' Ahad lalu. Azizah dan tiga lagi pemimpin parti itu hadir di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjelang tengah hari tadi.
Turut hadir bagi membantu siasatan ialah Ketua Penerangan Ruslan Kassim, Ketua Perhubungan Wilayah Persekutuan Zainur Zakaria dan seorang ahli jawatankuasa bahagian, Syed Bani Amin Baharudin.
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ulu Klang, Mohd Azmin Ali, sebagai penganjur majlis hari keluarga sempena sambutan ulang tahun KeADILan juga dikehendaki polis. Beliau bagaimanapun tidak hadir.
Semua mereka bebas dua jam kemudian kecuali Syed Bani Amin yang disoal selama lebih tiga jam. Syed memberikan keterangan kepada polis sebagai penganjur majlis tersebut.
Sementara itu seorang penyokong reformasi, Yunus Ibrahim, ditahan di Balai Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan pada bulan November 1998.
Beliau ditahan tengah hari tadi oleh tiga polis berpakaian biasa di luar IPK ketika sedang bersama para penyokong Azizah. Yunus kemungkinan dibawa ke mahkamah esok untuk didakwa atas kesalahan merusuh.
Setakat berita ini ditulis, polis tidak berjaya dihubungi untuk pengesahan.
Ketika Azizah sampai di depan IPK, beberapa pemimpin utama Barisan Alternatif dan 50 penyokongnya menyambut dengan laungan 'reformasi'.
Hujung minggu lalu, program hari keluarga itu pada asalnya dijadualkan di Pinggiran Batu Caves, Gombak tetapi dihalang polis.
Penganjur kemudiannya berpindah ke kawasan berdekatan pejabat parti KeADILan kawasan itu di Desa Melawati, Ulu Klang.
Program kemasyarakatan itu memuatkan beberapa aturcara seperti khidmat pemeriksaan percuma, menderma darah, pertandingan tarik tali dan pelancaran kumpulan briged putera KeADILan.
Bagaimanapun, tidak sampai satu jam kemudian, dua buah trak polis dan tiga buah jip datang. Polis mengumumkan perhimpunan itu sebagai tidak sah dan meminta penganjur membatalkannya.
Selepas berbincang seketika dengan pegawai polis, Azmin membatalkan program itu.
Semua mereka yang dikehendaki polis itu hadir dalam majlis pada Ahad lalu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.