Amaran demi amaran yang semakin keras dari polis mendorong penganjur perhimpunan '14 Hitam' pada Sabtu ini menyediakan panduan khusus kepada mereka yang bakal menyertainya di perkarangan Masjid Negara. Dalam halaman[#1] web rasmi[/#] mereka, penganjur mengeluarkan "arahan khas" supaya penyokong tidak membawa sebarang senjata dan tidak melawan anggota polis walaupun dipukul.

"Jangan membawa sebarang bentuk senjata, kayu, mercun, molotov cocktail, dan lain-lain senjata berbahaya. Jangan bertindak memukul atau melawan pihak polis sekiranya mereka memukul kita," sumber laman web itu dipetik.

Arahan khusus ini dipercayai dimasukkan dalam laman itu mulai Isnin lalu selepas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Beliau membayangkan tindakan tegas perlu diambil ke atas penganjur dan peserta perhimpunan itu kerana didakwa sedang menyiapkan "bom molotov cocktail, senjata dan kayu" untuk melakukan 'rusuhan'.

Bagaimanapun, Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Tian Chua dalam kenyataannya menggesa polis agar bertindak secara tenang dan profesional.

"Saya memberi amaran kepada pihak berwajib supaya tidak menggunakan kekerasan atau keganasan untuk menindas hak-hak rakyat yang sah," kata Tian kepada malaysiakini hari ini. "Rakyat sudah lama bersabar."

Semalam, polis menyebutkan kemungkinan menggunakan tindakan tahanan tanpa perbicaraan di bawah peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai pilihan terakhir sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal.

Ahad lalu polis dilaporkan berkata penganjur perhimpunan tersebut mungkin ditahan di bawah Akta Hasutan.

"Kita kemungkinan akan melakukan beberapa tangkapan sekiranya perhimpunan itu terus diadakan," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Md Ali, seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Dalam laman web [#2] '14 Hitam'[/#] , penganjur juga mengarahkan penyokong bukan Islam agar menunggu di bangunan Dayabumi dan tidak memasuki kawasan Masjid Negara.

Di sana, menurut sumber itu lagi, beberapa pemimpin bukan Islam dari KeADILan akan menunggu sekitar jam 3 petang dan penyokong harus bertindak mengikut arahan mereka.

Arahan itu juga disediakan dalam edisi Bahasa Inggeris.