Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seni berpotensi jana hasil negara
Diterbitkan:  Nov 19, 2009 11:22 AM
Dikemaskini: 3:32 AM

Karya-karya seni lukisan tempatan mempunyai potensi yang besar untuk di ketengahkan sebagai satu industri yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa akan datang, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata karya-karya seni lukisan mempunyai nilai yang sangat tinggi dan mendatangkan pulangan yang lumayan untuk dieksport ke luar negara.

"Kita cuba pertimbangkan kalau boleh bidang seni ini dilihat sebagai satu lagi jenis industri kecil dan sederhana (IKS) bagi membolehkan pihak kerajaan membantu artis-artis tempatan kita mengembangkan lagi bakat mereka di peringkat antarabangsa," katanya kepada media semasa program lawatan pengumpul-pengumpul lukisan sempena 'Art Expo Malaysia 2009' yang akan berlangsung hari ini sehingga 23 November.

"Ini kerana IKS ini juga melibatkan pasaran eksport di mana hasil karya-karya lukisan ini melibatkan pulangan yang sangat besar.

"Maka, ia boleh membantu menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara," kata Mukhriz semalam.

Beliau berkata banyak program-program boleh diusahakan untuk membantu mengetengahkan hasil karya-karya seni lukisan tempatan di peringkat antarabangsa.

"Di MITI sendiri, kita turut menjemput artis-artis tempatan menyertai misi-misi pelaburan dan perdagangan untuk mempamerkan karya-karya mereka.

"Sebagai contoh, semasa misi perdagangan di Dubai bulan Mac yang lepas, ada beberapa lukisan yang dibeli oleh orang tempatan di sana," katanya.

Mukhriz turut menjelaskan bahawa hasil karya-karya lukisan tempatan turut diterima dengan baik di negara-negara luar seperti di Amerika Syarikat dan UAE.

"Kita mempunyai pelukis-pelukis yang berbakat dan kita perlu membantu mereka," katanya lagi. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS