Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes rampas CD guna perkataan Allah 12 Jan
Diterbitkan:  Dec 2, 2009 12:59 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 12 Januari depan untuk mendengar permohonan seorang wanita Kristian dari Sarawak yang mencabar tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas daripadanya lapan cakera padat mengenai ajaran Kristian yang mengandungi perkataan "Allah".

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman menetapkan tarikh itu dalam kamar apabila kes itu disebut hari ini.

Jill Ireland Lawrence Bill, 27, seorang kerani, memohon perintah certiriori bagi membatalkan keputusan kementerian itu merampas CD berkenaan, selain perintah mandamus bagi mengarahkan kementerian memulangkan CD itu kepada beliau, dan perisytiharan bahawa beliau berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi perkataan "Allah".

Pada 11 Mei tahun lepas, kementerian merampas CD berkenaan dari wanita itu sebaik beliau tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang.

CD itu mempunyai tajuk seperti "Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah, Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah and Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah" dibawa masuk dari Indonesia.

Jill, yang diwakili peguam Annou Xavier, mendakwa beliau menggunakan perkataan Allah dalam doanya dan dalam pelajaran agama. - Bernama

ADS