Kes kematian Kugan didengar 18 Feb
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menetapkan 18 Februari tahun depan untuk perbicaraan kes A Kugan, yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis pada Januari lalu.
Hakim Aslam Zainuddin menetapkan perbicaraan itu selama seminggu selepas pihak pembelaan yang diwakili Raj Pal Singh telah menerima kesemua dokumen yang diperlukan dari pihak pendakwaan yang diwakili timbalan pendakwa raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas.
Pada 1 Oktober lalu, seorang konstabel dari balai polis Subang USJ, V Navindran, 28, mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap dua pertuduhan mengakibatkan kecederaan teruk terhadap Kugan di bilik soal siasat pejabat D9, di balai polis Taipan, USJ, Subang Jaya, pada 7 pagi, 16 Januari lalu.
Bagi tuduhan pertama, Navindran didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan, 23, bagi maksud hendak memeras daripadanya apa-apa pengakuan bersalah atau maklumat yang boleh membawa kepada diketahui sesuatu kesalahan atau salah laku.
Navindran turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan kedua menyebabkan cedera parah terhadap Kugan pada pukul 4 petang di tempat dan tarikh yang sama.
Bagi kedua-dua kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Navindran juga menghadapi dua pertuduhan pilihan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Kugan pada 7 pagi dan 4 petang di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Kugan ditahan polis pada 15 Januari tahun ini atas dakwaan terlibat dalam kes curi kereta tetapi meninggal dunia beberapa hari kemudian semasa dalam tahanan di balai polis itu. BERNAMA

