Menantu menteri besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abd Rahman menafikan pengumumannya hari ini - mengenai tarikh peletakan jawatannya sebagai ketua pengarah eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) - berkaitan dengan tulisan blog yang mempertikaikan kesediaannya berbuat demikian.

Sebelum kenyataan menantu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dikeluarkan petang ini, bekas pegawai perhubungan korporat PMBK menulis dalam blognya pagi tadi dengan mendakwa CEO itu dijangka tidak akan meletak jawatan dalam masa terdekat ini.

"Nampaknya Tok Guru Nik Aziz begitu hebat bersandiwara. Abdul Ariffahmi belum letak jawatan dan tiada rancangan terdekat untuk letak jawatan," kata Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang bertelagah besar dengan CEO itu.

"Tok Guru Nik Aziz sokong tindakan Abdul Ariffahmi menangguhkan perletakan jawatannya."

azlan Syed Azidi, yang dekat dengan exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, dipecat daripada PMBK pada 11 November lalu walaupun kontrak perkhidmatannya tamat April tahun depan.

Pemecatan itu dibuat selepas Abdul Ariffahmi dan PMBK disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kronisme dalam perbadanan tersebut.

Menulis di blognya Kickdefella , Syed Azidi mendakwa bahawa tindakan menangguhkan peletakan jawatan Abdul Ariffahmi sebagai satu bentuk sandiwara mursyidul am PAS.

"Apakah sandiwara begini hendak PAS jaja buat mereka yang mengundi PAS?" coretnya pagi tadi, dengan mendakwa beliau telah mengirim mesej SMS kepada pemimpin parti itu dan PKR berhubung perkara tersebut.

"Pilihan raya umum ke-12 mungkin pilihan raya umum terakhir buat Tok Guru Nik Aziz tetapi yang pasti bukan terakhir buat PAS. Saya bertahan tidak mahu insiden ini menjadi persepsi (negatif) pada PAS dan Islam. Tetapi semuanya berakhir di sini.

"Ternyata insan-insan kecil dan kakitangan PMBK tiada erti buat Tok Guru Nik Aziz berbanding anak-beranaknya.

"Mengapa lagi perlu ada rasa hormat daripada insan kecil buat Tok Guru Nik Aziz, parti dan individu yang membelanya?"

Mengulas dakwaan di blog itu, Abdul Ariffahmi yang juga exco Pemuda PAS Kelantan memberitahu Malaysiakini petang ini:

"Saya memang sudah merancang untuk membuat kenyataan hari ini."

Dalam kenyataan rasmi berhubung tarikh peletakan jawatannya, Abdul Ariffahmi berkata penentuan tarikh pada 23 Mac 2010 dibuat dengan mengambil kira faktor masa untuk menyiapkan beberapa kerja-kerja akhir.

Menurutnya, tarikh itu dibuat berdasarkan terma surat pelantikannya di mana beliau perlu memberi notis 90 hari untuk meletak jawatan.

Beliau akan memberi notis peletakan jawatannya sebagai CEO perbadanan itu pada 24 Disember ini walaupun mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebulan labih awal, 23 November lalu.

Tarikh-tarikh itu diputuskan hasil perbincangan dengan Nik Abdul Aziz dan pengurusan PMBK, kata Abdul Ariffahmi dalam kenyataannya itu.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini