Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penipuan di portal JobMalaysia: Menteri
Diterbitkan:  Dec 7, 2009 5:41 AM
Dikemaskini: 7:17 AM

Kementerian Sumber Manusia mengesan tindakan pihak tertentu yang menggunakan portal JobsMalaysia.gov.my untuk melakukan

penipuan dengan meletakkan syarat pembayaran bagi kekosongan jawatan di jabatan kerajaan dan sektor swasta.

Timbalan menterinya Datuk Maznah Mazlan berkata kebanyakan kekosongan yang ditawarkan itu menggunakan nama agensi kerajaan bagi tujuan meyakinkan pencari kerja yang lebih berminat untuk bekerja di sektor awam.

Katanya, kes penipuan itu dikesan berlaku di negeri ini dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah menerima 102 aduan daripada pencari kerja sejak Oktober tahun lepas.

"Seramai 10 orang telah tertipu membayar RM500 seorang bagi urusan permohonan mendapatkan pekerjaan yang diiklankan oleh pihak terbabit," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian letupan alat pendandang di sebuah kilang di Sandakan hari ini.

Pada kejadian Jumaat lepas itu, dua pekerja di kilang tersebut maut akibat letupan alat pendandang itu.

Menurut beliau antara langkah yang diambil untuk menangani kes penipuan itu termasuk mengambil tindakan mengeluarkan nama majikan terbabit daripada sistem portal tersebut.

Pemantauan bagi majikan yang mengiklankan kerja kosong di portal itu juga akan dipertingkatkan dan dilakukan melalui cawangan JTK yang ada di negara ini, katanya.

Maznah berkata kes penipuan lain yang diterima membabitkan pencari kerja dari Sabah, ditipu ketika bekerja di Singapura dengan 320 aduan diterima daripada Pejabat Atase Singapura dalam tempoh Januari hingga November lepas.

Katanya, antara jenis aduan yang dilaporkan ialah dokumen pengenalan diri mereka dipegang oleh agensi pekerjaan di Singapura, potongan gaji tinggi, gaji tidak dibayar dan dipaksa bekerja lebih masa. BERNAMA

ADS