Pengikut Ashaari disekat promosi poligami

       

kemaskini 6.58pm Bekas pengikut Al-Arqam – yang diisytiharkan haram sejak 1994 – terus dibayangi pelbagai halangan pihak berwajib sama ada dalam bidang perniagaan atau kegiatan kemasyarakatan.

Tidak cukup gangguan terhadap Rufaqa Corporation Sdn Bhd dan komuniti pengikut-pengikut pengasasnya Ashaari Muhammad (foto kiri) di Rawang pada 2006, kegiatan terbaru sekumpulan bekas ahli Arqam untuk mempromosikan poligami juga menemui jalan sukar.

al arqam 141004 ceramah speaker Syarikat terbaru kumpulan itu Global Ikhwan Sdn Bhd, yang ditubuhkan hampir setahun lalu, dikesan mulai dikekang oleh pihak berkuasa apabila ia bertindak mendaftar ahli-ahlinya.

Sekatan itu gara-gara pihak berwajib dipercayai khuatir ia akan digunakan untuk menghidupkan semula gerakan dakwah itu yang telah difatwakan sesat.

Pengarah Global Ikhwan, Hatijah Aam berkata usaha itu muncul apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) enggan mendaftarkan sebuah kelab yang dianjurkan oleh syarikat itu.

Hatijah, seorang daripada empat isteri Ashaari, menjelaskan usaha untuk mendaftarkan Kelab Poligami Ikhwan itu dihalang selepas kelab tersebut dilancarkan Ogos lalu dalam satu majlis di Bandar Country Homes, Rawang – lokasi kegiatan bekas pengikut Arqam selepas Sungai Penchala.

"Pada bulan Ogos itu kami lancarkan untuk tengok sambutan. Alhamdulillah, sambutannya baik apabila dilaporkan dalam media. Tetapi ada menteri yang tidak setuju dengan kelab ini, jadi usaha untuk daftar pun tidak berjaya," katanya lagi.

Hatijah berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dilaporkan menyebut penubuhan kelab sedemikian "tidak berfaedah" dan "tidak mempunyai hala tuju positif."

Reaksi lain termasuklah kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang dilaporkan menyebut, individu yang mengamalkan poligami tidak seharusnya berbangga sehingga menubuhkan kelab.

Jamil Khir juga dilaporkan berkata, kepentingan harus diletakkan kepada pelaksanaan poligami itu supaya mengikut lunas Islam, dan bukannya terhadap penubuhan kelab atau persatuan.

Bercakap kepada Malaysiakini , Hatijah berkata, polis Bukit Aman juga telah menasihati beliau supaya kelab tersebut tidak ditubuhkan kerana bimbang akan "menimbulkan salah faham" di kalangan masyarakat.

"(Bukit Aman) tidak mahu timbul masalah kerana sejarahnya sebelum ini Rufaqa pun telah diharamkan kerana mengamalkan ajaran sesat. Jadi kami dinasihatkan untuk daftar syarikat lain," katanya.

Jelasnya, kebimbangan berhubung kelab tersebut dipercayai wujud kerana ia dikhuatiri menjadi medan baru untuk menghidupkan semula ajaran-ajaran Ashaari.

"Mereka bimbang platform motivasi kepada ahli kelab (secara tertutup) ini kami gunakan untuk mencari pengaruh dan sejarah mungkin berulang. Jadi Kelab Poligami Ikhwan kita hentikan dulu.

"Sekarang kami tumpukan kepada aktiviti-aktiviti perniagaan sebab masyarakat lebih yang suka kepada aktiviti-aktiviti ekonomi kami," kata Hatijah ketika dihubungi.

Katanya, program ceramah motivasi berkaitan poligami itu akan diadakan secara berterusam kepada ahli-ahlinya.

Ceramah-ceramah tersebut diadakan di enam buah pusat ceramah yang dikenali sebagai Rumah Motivasi Poligami di seluruh negara – Bukit Jambul (Pulau Pinang), Nilai (Negeri Sembilan), Kluang (Johor), Kota Bharu (Kelantan), Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).

"Ceramah-ceramah motivasi ini kami gunakan untuk mendidik ahli-ahli supaya menghayati kehidupan berpoligami yang indah dan juga supaya jujur dalam perniagaan," tambahnya.

Kata Hatijah lagi, jaringan pengendali perusahaan dalam Global Ikhwan diasaskan oleh lelaki, termasuk mereka yang mengamalkan poligami bersama anggota keluarga mereka.

"Dalam jemaah, ada yang mengamalkan poligami dan ada juga yang tidak berpoligami. Jadi bila persepsi masyarakat teruk sangat terhadap poligami, kami fikir perlu dibuat ceramah-ceramah motivasi kepada ahli," katanya.

Jumlah ahlinya yang mencecah 4,000 orang itu, katanya, termasuk pengusaha-pengusaha di dalam negara serta di negara jiran, seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

"Untuk menjadi ahli Global Ikhwan, kita kena ajak sekali ahli keluarga mereka kerana orang yang hendak bekerja dengan syarikat ini hendaklah ikut program-program (motivasi) yang kita atur.

"Suasana (kerja) juga mestilah menyokong dia untuk berjaya, sebab itulah kena libatkan keluarga sekali," kata Hatijah lagi.

Malaysiakini
terkini untuk anda