Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelakon Gerak Khas dihukum penjara, denda
Diterbitkan:  Dec 17, 2009 12:38 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

kemaskini 2.48pm Pelakon drama bersiri popular Gerak Khas , Farid Amirul Hisham Abdullah, yang memegang watak Detektif Lim dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 selepas didapati bersalah terhadap tuduhan mencuri dua buah buku di Mid Valley Megamall, di Kuala Lumpur Mac lepas.

Majistret Mohd Faizi Che Abu membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membutikkan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pelakon berusia 43 tahun itu.

Mohd Faizi mengarahkan Farid Amirul menjalani hukuman itu berkuatkuasa hari ini, dan penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu, namun beliau kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan syarat ikat jamin terdahulu iaitu RM1,500 dinaikkan kepada RM3,000 dengan seorang penjamin.

NONE Pelakon itu dihadapkan ke mahkamah selepas didakwa mencuri sebuah buku bertajuk "Sistine Secrets" berharga RM89.90 dan "Decoding The Heavens" berharga RM105 di Kedai Buku MPH Bookstore, Mid Valley Megamall, pada 7.15 malam 27 Mac lepas, dan dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Mohd Faizi semasa menyampaikan keputusan penghakiman berkata mahkamah memilih untuk tidak mempercayai keterangan tertuduh berdasar dua penilaian iaitu kes ini hanya berbentuk penafian semata-mata.

"Kes ini juga tidak menunjukkan kredibel kerana tertuduh yang sering menyatakan dia tidak ingat tempat kejadian walaupun kejadian berlaku pada penghujung Mac lalu.

"Sepatutnya tertuduh masih boleh mengingati kejadian kerana ia merupakan pengalaman buruk tertuduh," katanya.

Mohd Faizi berkata antara isu yang ditimbulkan pihak pembelaan sepanjang prosiding perbicaraan adalah ketiadaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan ketiadaan gambar rajah kasar tempat kejadian, dan ia tidak menunjukkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

"Mahkamah berpendapat isu yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan tidak mencacatkan kes pendakwaan dan keterangan saksi awam yang melihat kejadian itu tidak bermotifkan jahat dan buruk terhadap tertuduh," kata Mohd Faizi.

Peguam bela Nor Azri Mohd Ariff yang mewakili tertuduh memohon kepada mahkamah mengambil kira anak guamnya itu kehilangan banyak tawaran berlakon di samping anak guamnya itu mengalami gangguan fikiran sepanjang kes itu dibicarakan.

Terdahulu, pendakwaan yang diwakili Mohd Faizal Abdul Rahman memohon kepada mahkamah agar tidak memandang status tertuduh, iaitu sebagai pelakon, dalam mengenakan hukuman yang berat. BERNAMA

ADS