Dewan Pemuda PAS Kelantan membatalkan mesyuarat berhubung kedudukan menantu menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai peneraju Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sebenarnya untuk meredakan isu panas tersebut.

"Mesyuarat dewan harian (Pemuda PAS) sebelum ini sudah putuskan, isu itu akan dibawa dalam mesyuarat Pemuda PAS Kelantan.

"Tetapi lepas heboh di media, ia dibatalkan bagi meredakan isu tersebut," kata sumber-sumber dewan itu.

Malaysiakini difahamkan, mesyuarat dewan itu dijadualkan pada jam 5 petang di Kota Bahru semalam bagi membincangkan kedudukan ketua pegawai eksekutif (CEO) PMBK, Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Kelmarin, ketua penerangan dewan itu, Dr Rosli Allani Abd Kadir Pemuda PAS dilaporkan mendesak Abdul Ariffahmi berundur segera daripada PMBK - bukan seperti dijadualkan pada 23 Mac tahun depan.

Isu tersebut dilaporkan akan dibincangkan dalam mesyuaratnya, termasuk mungkin mengadakan pengundian bagi mendesak pengunduran Abdul Ariffahmi, yang juga exco Pemuda PAS negeri.

Sementara Abdul Arifahmi pula berkata beliau tidak akan tunduk kepada desakan dewan tersebut dan menganggapnya, yang membuat kenyataan terbuka, sebagai tindakan yang "tidak bijak".

Ketika dihubungi Malaysiakini, sumber-sumber memberitahu, tindakan Dr Rosli mengumumkan perkara itu di media tidak disenangi ketuanya Abdul Latif Ab Rahman - yang dikatakan mahu mengambil jalan selamat menangani perkara itu.

Bagaimanapun, sumber beranggapan, selagi Abdul Ariffahmi tidak berundur segera, kemelut dalaman di Kelantan tidak akan selesai, sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu lagi.

"Mesyuarat itu diadakan kerana Pemuda ingin tahu kenapa payah sangat hendak meletakkan jawatan? Memang Tok Guru sudah cakap, hendak cari pengganti dan sebagainya.

"Cuma tidak semestinya tidak ada CEO, PMBK tidak boleh jalan," tambah sumber.