Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian pinda ISA libatkan lima isu utama
Diterbitkan:  Dec 24, 2009 7:57 AM
Dikemaskini: 7:49 PM

Kajian ke arah meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengambil kira lima isu pokok dan rang undang-undang pindaannya akan dibahaskan pada sidang akan datang Dewan Rakyat, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Lima perkara asas itu: kuasa-kuasa menteri yang terlalu luas, tempoh tahanan yang berpanjangan setiap dua tahun, hak dan layanan terhadap orang tahanan, tanggapan negatif bahawa akta kontroversi itu bagi tujuan politik dan juga isu penahanan tanpa perbicaraan mahkamah.

Menteri dalam negeri juga berkata, selain lima perkara itu, jawatankuasa teknikal pindaan ISA turut membuat perbandingan dengan undang-undang yang diamalkan di negara-negara lain, lapor Bernama .

Hishammuddin menambah, rang pindaan itu tidak dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini, yang berakhir 17 Disember lalu, kerana tidak sempat dibahaskan.

"Sememangnya menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk membentangkan sebarang pindaan ISA di Parlimen dengan kadar segera apabila semua aspek kajian dan prosedur berkaitan telah dipatuhi dan diyakini," beliau dipetik berkata dalam satu kenyataan hari ini.

"Bagaimanapun, saya merasakan bahawa pindaan ini lebih sesuai dibentangkan dan dibahaskan terus pada sidang Dewan Rakyat akan datang."

Menurut agensi berita itu lagi, beliau berkata, pertemuan awam telah berlangsung dengan jayanya serta terdapat permintaan daripada ahli-ahli parlimen pembangkang agar mereka turut dilibatkan dalam pertemuan awam seterusnya.

"Permintaan ini disuarakan kepada saya ketika penggulungan Bajet 2010 kementerian pada 10 November lalu.

"Malah, permintaan badan-badan NGO untuk mengadakan sesi-sesi penerangan dan perbincangan awam untuk mendapat respons juga perlu diberikan perhatian dan ruang masa secukupnya," kata Hishammuddin.

Tambahnya, hasil sesi pertemuan awam dan perbincangan bersama kumpulan fokus, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-undang sedang di peringkat akhir untuk meneliti setiap pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan semasa sesi tersebut sebelum sebarang pindaan dibentangkan di Parlimen.

Sebagai undang-undang pencegahan yang sangat penting, katanya, sebarang penggubalan atau pindaan ISA memerlukan kajian dan penelitian terbaik.

ADS