Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin MIC diminta dekati semula kaum India
Diterbitkan:  Dec 27, 2009 1:14 PM
Dikemaskini: Dec 28, 2009 4:25 AM

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu menggesa pemimpin parti itu "dekati semula" masyarakat India yang telah menjadi "bank undi" BN sejak penubuhan parti itu pada 1946.

Katanya, ini kerana pada pilihan raya umum Mac 2008, parti itu telah mengambil mudah sokongan masyarakat India yang secara tradisinya mengundi BN dan memastikan kemenangan besar parti pemerintah itu.

"Tugas kita sekarang ialah mendapatkan semula sokongan mereka. Ini merupakan keutamaan kita. Kita telah mencapai kemajuan memberangsangkan sejak 18 bulan lepas, dan kita perlu teruskan usaha ini," katanya semasa merasmikan bengkel bagi pemimpin MIC di ibunegara hari ini.

Beliau menegaskan adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap pemimpin parti "daripada presiden hingga pengerusi cawangan' untuk menjalin hubungan yang mesra dan erat dengan masyarakat India dan pada masa yang sama tetap memberikan khidmat yang berkesan.

“Masyarakat India meletakkan harapan mereka kepada kita untuk memberikan khidmat terbaik dan kita perlu bekerja keras untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka," katanya.

Samy Vellu berkata parti tidak memerlukan "pemimpin yang alpa dan selesa" yang tidak serius dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab kepada parti dan masyarakat.

“Saya dapati kini berlaku kesedaran politik di kalangan ramai pemimpin parti (MIC). Mereka berpendapat perlu mengubah minda dan lebih bertanggungjawab dalam memberikan khidmat yang lebih baik kepada masyarakat," katanya.

Samy Vellu berkata itu adalah hasil daripada siri bengkel dan usaha pemulihan yang dilakukan oleh parti dan "pendirian tegas" yang diambil terhadap banyak isu melibatkan masyarakat India.

Kemudiannya ketika bercakap kepada pemberita, beliau berkata untuk tempoh 12 bulan akan datang, MIC akan mengemas kini bank data pengundinya.

Katanya pengundi India akan diklasifikasikan mengikut empat warna iaitu hijau (kumpulan pengundi India dikategorikan sebagai "simpanan tetap" BN), kuning (mereka yang mungkin akan meninggalkan BN jika tidak diuruskan dengan baik), merah (anggota parti dan orang yang telah mengenepikan MIC dan perlu dapatkan semula sokongan mereka) dan putih (kumpulan anggota dan pengundi yang berpotensi).

“Melalui klasifikasi ini, kami akan dapat merancang strategi kami dan fokus kepada setiap kumpulan dalam usaha untuk mendapatkan semula sokongan mereka kepada BN," katanya. - Bernama

ADS