Menteri Besar Selangor berterima kasih kepada penduduk Taman Datuk Harun di Petaling Jaya kerana bersabar ketika kesucian masjid di kawasan mereka dicemari .

"Saya harap perkara sebegini tidak berlaku lagi. Saya ucapkan terima kasih kepada penduduk setempat kerana bersabar dan bertenang," kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika melawat Masjid Jumhuriyah.

Beliau ditemani dua lagi exco kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu dalam lawatan singkat di masjid itu kira-kira jam 3.30 petang tadi.

NONE Awal pagi tadi, kepala babi ditemui di dalam perkarangan masjid tersebut dan sebuah lagi masjid di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Insiden itu perbuatan terbaru merosak dan mencemarkan rumah ibadat sepanjang tiga minggu lalu, yang membabitkan 11 gereja, sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan dua surau.

Serangan ini dipercayai ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahaan untuk ' God '.

Bercakap kepada pemberita di Masjid Jumhuriyah, Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor mengutuk keras perbuatan itu.

"Ini adalah perbuatan yang salah. Walaupun berbeza pendapat, ia perlu ditangani melalui mesyuarat dan perbincangan," katanya.

NONE Beliau berpendapat, perbuatan tersebut dilakukan oleh golongan yang tidak menghormati agama Islam dan juga agama-agama lain di Malaysia

"Saya harap semua pihak dapat berdoa supaya apa yang berlaku tidak menumbulkan satu tragedi dalam masyarakat," katanya.

Abdul Khalid sebelum itu, berjumpa dan bersalaman dengan penduduk setempat di sekitar masjid berkenaan kira-kira 15 minit.

Beliau turut meninjau tempat dua kepala babi hutan diletakkan. Beberapa penduduk menunjukkan kepada Abdul Khalid gambar kejadian pagi tadi.

Abdul Khalid beredar jam 3.45 petang bersama Ronnie dan Dr Xavier.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Azmin Ali yang turut berkunjung ke masjid berkenaan sejam sebelum ketibaan Khalid berkata, insiden tersebut merupakan perbuatan khianat dan mencetuskan keadaan tidak tenteram.

"Saya mengutuk keras perbuatan ini dan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. Islam tidak menganjurkan perbuatan khianat dan mencetuskan keadaan tidak tenteram," katanya.

Beliau yang juga ahli parlimen Gombak berkata, pihak polis harus lebih serius "mengerahkan kekuatan bagi menjamin ketenteraman awam, bukan ketenteraaan Umno dan BN semata-mata."