Undian kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati majoriti pembaca laman webnya menolak penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian di Sabah dan Sarawak.

Dalam undian yang ditutup petang semalam, sebanyak 74.51 peratus (1,523 orang) tidak bersetuju dengan penggunaan itu. Manakala 25.49 peratus (521 orang) berpendapat sebaliknya.

NONE Keputusan itu diperoleh setelah berlaku peningkatan cepat jumlah yang tidak bersetuju daripada 794 undi pada kira-kira jam 1 petang ( kiri ) kepada 1,523 pada lewat petang ketika ia ditutup.

Semakan Malaysiakini juga mendapati terdapat peningkatan bagi yang bersetuju dalam beberapa jam terakhir sangat sedikit, empat undi sahaja - daripada 517 kepada 521.

Undian tersebut dipercayai dijalankan ekoran keputusan kerajaan pada 15 Januari yang membenarkan penganut Kristian di kedua-dua negeri itu menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan dan penerbitan.

Kebenaran yang diumumkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz - di tengah-tengah kehangatan perdebatan isu tersebut - dibuat dengan mengambil kira kebiasaan penduduk Islam di kedua-dua negeri berkenaan.

Undian kelolaan Jakim itu juga mengumpul pandangan awam berhubung kewajaran penubuhan majlis antara agama - antaranya melibatkan Islam, Hindu, Kristian, Sikh dan Buddha - yang memiliki kuasa undang-undang.

NONE Keputusannya juga menunjukkan corak yang hampir sama apabila 67.84 (1,310) peratus pengundinya berpendapat cadangan itu tidak wajar dijalankan.

Bagi pilihan kedua, wajar bersyarat, sebanyak 27.96 peratus (540 orang) memilih opsyen tersebut. Manakala hanya 4.19 peratus (81 orang ) yang berpendapat majlis tersebut wajar ditubuhkan tanpa sebarang syarat.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian Herald menimbulkan perasaan tidak puas hati perbagai NGO Melayu.

Selain demonstrasi demi demonstrasi, terdapat juga insiden yang mencemarkan rumah ibadat berlalu, dipercayai ekoran ‘ketegangan’ tersebut. Proses mahkamah berhubung perkara itu bagaimanapun masing-masing berlangsung di peringkat rayuan.