NUBE tuntut cuti bersalin 90 hari
Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) kini dalam usaha mengumpul sejuta tandatangan dari seluruh negara bagi menyokong cadangan mereka agar cuti bersalin bagi wanita yang bekerja dilanjutkan kepada 90 hari.
Kempen tandatangan itu akan dilancarkan sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac nanti. Ia akan disusuli dengan program bagi menyedarkan rakyat berhubung sumbangan pekerja wanita dan keperluan kemudahan tambahan untuk mereka.
Menurut NUBE, tuntutan 90 hari itu selaras dengan konvensyen No. 183, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Setiausaha agungnya, J Solomon dalam satu kenyataan hari ini berkata “ia akan menjadi hadiah kepada lima juta ibu yang bekerja daripada Perdana Menteri dan sealiran dengan konsep 1Malaysianya”.
Kempen
mengumpul tandatangan itu sebagai tindakbalas terhadap jawapan lesu daripada Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam yang sebelum ini berkata “kementerian akan mengkaji cadangan kesatuan itu bagi meminda Akta Perkerjaan 1955 bagi menambahkan hari cuti bersalin”.
NUBE membuat tuntutan itu pada Rabu lalu. Solomon ( kanan ) yang dipetik Bernama melaporkan Singapura memperuntukkan 112 hari untuk cuti bersalin, manakala Thailand, Kemboja, Indonesia dan Filipina memberi ibu yang bersalin cuti selama 90 hari.
Cuti yang diberikan kepada wanita Malaysia, ketika ini hanya 60 hari.

