Rais: Ada PBT sulitkan bina menara pemancar
Datuk Seri Rais Yatim hari ini membidas tindakan segelintir pihak berkuasa tempatan yang menyulitkan proses pembinaan menara pemancar telekomunikasi di negeri-negeri.
Menteri penerangan, kebudayaan dan kesenian itu berkata, tindakan pihak yang digelar 'napoleon kecil' itu membantutkan usaha kerajaan memperluaskan penggunaan internet jalur lebar dalam negara ini.
Tanpa menyebut majlis perbandaran terbabit, beliau berkata, tindakan itu dilakukan melalui pelbagai syarat tambahan bagi yang dikenakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mendirikan menara pemancar.
Selain itu, PBT tersebut juga mengenakan kadar sewa tanah yang tinggi serta sengaja melengah-lengahkan kelulusan pembinaan menara berkenaan, katanya.
"Masalahnya ialah dari segi pemilikan tanah, sewa tanah, kelulusan majlis daerah tempatan dan pengenaan syarat yang bukan-bukan.
"Masing-masing hendak menjadi 'little napoleon' dan apabila SKMM pergi mereka kata 'ini syarat-syaratnya.
"Sikap seperti inilah yang melewatkan bekalan komunikasi kita (penembusan Internet)," katanya.
Beliau turut mendakwa terdapat penyelewengan berlaku dalam transaksi membina menara-menara telekomunikasi di negeri-negeri tersebut.
"Saya perlu katakan, ada sejumlah penyelewengan berlaku dalam sebahagian daripada transaksi berkenaan," katanya lagi.
Menjawab soalan, Rais beliau berkata SKMM juga akan membawa satu cadangan ke kabinet bagi mewajibkan tapak khas disediakan untuk membina menara di kawasan-kawasan yang dimajukan.
Dalam pada itu, Rais juga berkata beliau juga akan meminta penyedia perkhidmatan telekomunikasi supaya meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.
"Perkhidmatannya hendaklah memuaskan dan efisien. Kita perlu lihat kelajuannya (Internet) itu apabila dimeterkan adalah sama seperti apa yang ditegaskan oleh pembekal," katanya.
Tambahnya, banyak penyedia di negara ini yang mengiklankan bahawa perkhidmatan Internet mereka boleh mencecah sehingga 2Mbps.
"Tapi sebenarnya kelajuan sebenar hanyalah 1Mbps. Kesannya ialah kita akan kerugian dari segi kepercayaan kepada pembekal.
"Pengurangan kepercayaan ini kita tidak harus galakkan lagi," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Amax City, satu perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar, di Taman Teknologi Malaysia pagi ini.
Ia menggunakan teknologi WiWi yang menggabungkan teknologi Wimax dan Wifi, dibangunkan oleh MIMOS Berhad, Asiaspace Sdn Bhd dan Technology Park Malaysia.

