Jenazah pemandu di Pejabat Konsulat Malaysia di Sydney, Australia, Mohd. Shah Saemin yang mati dibunuh di negara itu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak Paya, Ayer Molek di Melaka hari ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan kira-kira pukul 10 pagi dengan dihadiri kira-kira 500 orang termasuk bapanya Saemin Mongin, 70, tiga adiknya Mohd. Kamal, Rohayu dan Mohd. Saiful serta penduduk kampung.

Terdahulu, solat jenazah oleh 100 orang jemaah diadakan di Masjid Kampung Tambak Paya diimamkan Imam 1 masjid itu, Muhamad Rahmat.

Jenazah Allahyarham tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor dari Australia pukul 8.50 malam tsemalam dan terus dibawa pulang ke Kampung Tambak Paya.

Turut menziarahi jenazah malam tadi ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ayer Molek, Datuk Md Yunus Husin.

Ketika ditemui pemberita, Saemin dengan nada sedih berkata, beliau reda dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu.

Mohd. Shah, 43, dilaporkan diserang dengan tukul besi dan ditikam oleh dua lelaki di luar unit kediamannya di Marion Street, Leichhardt, Sydney, Ahad lepas.

Beliau yang tinggal di Australia sejak beberapa tahun lalu dan menjadi warga Australia, bekerja sebagai pemandu di pejabat Konsulat Malaysia di Sydney.

Allahyarham pernah bertugas dengan sebuah syarikat perkapalan selepas menamatkan pengajian di Akademi Laut Malaysia di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, pada awal 80-an.

Mohd. Shah kemudiannya menetap di Australia dan bekerja dengan sebuah rumah kebajikan selama lapan tahun sebelum menjadi pemandu.

Allahyarham pernah berkahwin dengan wanita Australia yang memeluk Islam tetapi kemudiannya berpisah tanpa mempunyai anak.

- Bernama