Zulkifli tetap mahu anggota lembaga disiplin Islam
Ahli parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Noordin tetap bertegas bahawa pertuduhan terhadapnya mempunyai kaitan dengan isu agama, justeru beliau perlu dibicarakan oleh panel lembaga disiplin PKR yang beragama Islam.
Katanya, penafian yang dibuat pemimpin kanan PKR berhubung perkara itu, termasuklah oleh presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan Setiausaha Agung Saifudin Nasution menunjukkan sikap mereka yang "buta".
"Pada saya, ternyata setiausaha agung dan presiden 'buta'," katanya sambil membacakan pertuduhan terhadapnya satu persatu, perkataan demi perkataan.
Zulkifli diminta mengulas kenyataan Saifudin semalam yang dilaporkan berkata Zulkifli dihadapkan ke lembaga disiplin kerana laporan polis terhadap wakil rakyat PAS Khalid Samad, bukan kerana pendirian agamanya.
Saifuddin dilaporkan menganggap kenyataan Zulkifli - yang didakwanya cuba mengheret sentiman perkauman dan keagamaan dalam prosiding lembaga disiplin - sebagai tidak wajar.
Zulkifli sebelum ini enggan dibicarakan oleh panel yang bukan beragama Islam kerana mendakwa pertuduhan kes disiplinnya melibatkan isu berkaitan agama itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Zulkifli sekali lagi mempertahankan kenyataannya sebelum ini kerana menurutnya perkara itu sudah tertulis secara jelas dalam kertas pertuduhan.
Menurut Zulkifli, pertuduhan tersebut berbunyi: "Salah laku yang diakukan terhadap saudara kerana menbuat laporan polis berarikh 23 Januari 2010 terhadap ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad kerana menghasut dan menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Dun Selangor dan umat Islam ekoran kenyataan akhbarnya berkaitan isu kalimah Allah."
Zulkifli yang kini berada di kawasan parlimennya di Kedah juga berkata isu laporan polis yang dibuatnya dan penggunaan kalimah Allah - yang menundang beliau mengambil langkah tersebut - tidak boleh dipisahkan sama sekali.
"Kenyataan yang dibuat Khalid itu jenayah agama. Kita tidak boleh kata tidak ada kena mengena," katanya sambil menyifatkan perkara itu bukan lagi perbezaan pandangan.
Beliau juga berkata, bagi mempertahankan diri di depan panel lembaga tersebut, beliau perlu berhujah berdasarkan sumber-sumber Islam seperti al-Quran dan hadis nabi.

