Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mohsin tak akan kosongkan kerusi Bagan Serai
Diterbitkan:  Mar 13, 2010 6:42 PM
Dikemaskini: Mar 15, 2010 5:16 AM

Ahli parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, hari ini menegaskan bahawa beliau tidak akan mengosongkan kerusi parlimen berkenaan walaupun ada pihak dalam pakatan pembangkang mendesaknya berbuat demikian.

Manakala Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim pula mengulangi

pendiriannya bahawa beliau tidak akan melepaskan kedudukannya sebagai ahli parlimen Bayan Baru.

NONE Menurut Mohsin, beliau tidak terfikir untuk mengosongkan kerusinya dan sebaliknya akan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat bebas sehingga pilihan raya umum yang akan datang.

    

Pada 3 Mac lalu, Mohsin i mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas kerana mendakwa berlakunya 'politiking' melampau dalam PKR yang gagal dikawal oleh penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    

"Pilihan raya umum pun tidak lama lagi, saya akan tunggu dan menghabiskan penggal perkhidmatan saya," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

"Lagi pun apa perlunya saya meletak jawatan kerana saya masih lagi ahli Parlimen mereka...tidak ada salahnya kerana saya masih berkhidmat untuk mereka (pengundi Bagan Serai)," katanya.

    

Mohsin Fadzli berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik lain walaupun menyedari Barisan Nasional (BN) akan sentiasa mengalu-alukan jika beliau berhasrat menyertai parti komponen BN.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohsin Fadzli, yang pertama kali bertanding, mengalahkan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin daripada Umno dengan majoriti 3,413 undi.

NONE Sementara itu, Mohd Zahrain turut mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan melepaskan kedudukannya sebagai ahli parlimen Bayan Baru.

Katanya beliau tidak akan tunduk kepada tekanan daripada pihak yang menggesa beliau mengosongkan kerusi kerana beliau merupakan wakil rakyat yang dipilih untuk kawasan itu.

   

"Pendirian saya adalah jelas dan saya ingin terus berkhidmat untuk penduduk Bayan Baru sebagai ahli parlimen bebas," katanya kepada Bernama.

Mohd Zahrain, yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 12 Februari lalu, berkata beliau tidak mengkhianati undi rakyat dan telah memaklumkan kepada speaker parlimen mengenai statusnya sebagai wakil bebas.

"Ahli PKR harus tahu bahawa saya bukan ahli parlimen untuk parti itu tetapi untuk rakyat. Mereka tidak boleh menghalang saya daripada memberi khidmat kepada penduduk Bayan Baru," katanya.

   

Menurutnya dalam pilihan raya umum 2008, beliau menerima kira-kira 27,000 undi dan percaya bukan semua mahu beliau mengosongkan kerusi parlimen itu tetapi hanya sebilangan kecil pengundi yang mungkin terpengaruh dengan desakan PKR.

"Tetapi bagi saya, dalam proses demokrasi, adalah menjadi hak saya sama ada mahu mengosongkan kerusi itu atau kekal," katanya.

   

Mohd Zahrain berkata beliau berasa dikhianati oleh PKR sendiri.

"Selepas pembangkang kalah teruk pada pilihan raya umum 2004, saya diberi tanggungjawab sebagai pengerusi PKR negeri untuk membina semula parti itu," katanya.

   

Menurutnya, beliau banyak berkorban ketika parti itu mengharungi keadaan getir tetapi beliau dipinggirkan selepas parti itu berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, PKR menghadapi masalah selepas banyak berkompromi dengan parti DAP dalam pakatan pembangkang serta tindakan banyak bertolak ansur dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng akan memusnahkan Pakatan Rakyat secara keseluruhan.

   

Ditanya sama ada menerima tawaran untuk menyertai parti komponen BN, katanya, tidak tetapi mengakui telah mengikuti rombongan beberapa ahli parlimen BN BN dan menteri ke Amerika Syarikat dari 20 hingga 28 Februari lalu.

   

"Saya tidak mempunyai niat untuk menyertai mana-mana parti dan saya akan kekal sebagai wakil rakyat bebas," katanya.

Beliau dikatakan bertindak keluar parti kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Lim serta menuduh setiausaha agung DAP itu mengamalkan politik cauvinis, diktatorial dan berfikiran ala komunis .

- Bernama

ADS