Polis dapat kenaikan pangkat
Anggota polis berpangkat konstabel akan dinaikkan kepada lans koperal selepas tiga tahun berkhidmat manakala mereka yang berpangkat lans koperal pula dinaikkan kepada koperal selepas lima tahun berkhidmat.
Kenaikkan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merasmikan Hari Polis ke-203 hari ini.
Selain itu, elaun RM200 juga akan diberikan kepada 33,000 anggota tugas-tugas am yang akan membabitkan kerajaan RM84 juta setiap tahun.
Kerajaan juga mencadangkan balai-balai yang cemerlang dan terbaik diberikan penghargaan khas berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka.
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Sementara itu, Bernama melaporkan Najib dalam ucapannya turut mencadangkan supaya balai polis yang cemerlang diberikan penghargaan khas berdasarkan prestasi dan pencapaian mereka.
"Apa yang diberikan hari ini sebagai menunjukkan sokongan dan dorongan kerajaan atas jasa anggota polis yang bertugas demi bangsa dan negara," katanya.
Selain i
tu, Najib turut menekankan tiga nilai utama iaitu integriti, keberkesanan dan keberhasilan yang perlu dipegang oleh seluruh warga PDRM dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada masyarakat terutama untuk memastikan negara dalam keadaan aman dan selamat.
Tiga nilai itu penting terutama dalam usaha mengurangkan kadar jenayah yang menjadi satu daripada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

