Permodalan YBK saman k'jaan S'gor
Sebuah anak syarikat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan Selangor dan dua yang lain bagi menuntut ganti rugi RM73.8 juta kerana didakwa menyalahguna kuasa berhubung isu pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah.
Saman yang difailkan oleh Permodalan YBK Sdn Bhd (PYBK) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui Tetuan Kamarul Hisham & Hasnal Rezua itu, menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor selaku defendan pertama, Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor sebagai defendan kedua dan kerajaan negeri Selangor selaku defendan ketiga.
Dalam pernyataan tuntutannya, PYBK mendakwa defendan mempunyai motif tidak wajar dan terselindung berhubung penyusunan semula syarikat itu apabila meletakkan syarat antara lain supaya melantik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengerusi baru dan melantik tiga wakil kerajaan negeri sebagai ahli lembaga pengarah.
PYBK mendakwa sekiranya pihaknya tidak bersetuju, defendan meminta supaya semua urusan pembangunan syarikat itu dihentikan dan keseluruhan tunggakan cukai tanah diselesaikan secepat mungkin.
Plaintif bagaimanapun telah menyatakan ketidaksediaannya untuk membuat penstrukturan semula seperti yang diminta oleh defendan pertama dan seterusnya membuat bayaran cukai tanah berjumlah RM6.9 juta yang turut dibantu oleh Yayasan Melaka.
Seterusnya plaintif mendakwa telah diminta memberikan penjelasan mengenai kepentingan Yayasan Melaka dalam pembayaran cukai tanah itu dan sebarang perjanjian atau persefahaman atau transaksi antara pihak YBK dan Yayasan Melaka berkaitan tanah berkenaan, untuk dibincangkan dalam mesyuarat defendan pertama bagi membuat keputusan berhubung pembayaran cukai yang telah diterima.
PYBK seterusnya mendakwa defendan pertama kemudian telah memutuskan untuk tidak menerima bayaran cukai tanah berkenaan atas alasan pembayaran itu telah dibuat oleh Yayasan Melaka yang kononnya bukan satu pihak yang berhak membuat pembayaran cukai.
Plaintif mendakwa tindakan kerajaan Selangor melalui menteri besar untuk tidak mengangkat permohonan pembangunan plaintif ke mana-mana mesyuarat peringkat negeri yang turut dipengerusikan oleh menteri besar adalah berpunca daripada motif tidak wajar iaitu untuk menguasai YBK, menguasai plaintif melalui YBK, merampas hartanah milik plaintif atau YBK, dan untuk bertindak balas sekiranya plaintif tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
Akibat daripada tindakan defendan-defendan terbabit, plaintif mendakwa mengalami kerugian dalam mematuhi syarat-syarat perancangan pembangunan kampus UiTM itu iaitu dengan mengambil langkah-langkah untuk mendapatkan penyediaan laporan teknikal, kelulusan agensi-agensi berkaitan, lukisan-lukisan, pelan-pelan dan telah mengeluarkan perbelanjaan untuk membiayai kos-kos yang berkaitan yang keseluruhannya berjumlah RM73,837,089.50.
PYBK memohon gantirugi khas pada jumlah itu, gantirugi am, gantirugi teladan, ganti rugi teruk, faedah statutori, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Pengerusi PYBK Datuk Zainal Abidin Sakom ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata tindakan memfail saman itu bertujuan mendapat keadilan sewajarnya.
- Bernama

