Jumlah dagangan dalam industri jualan langsung (MLM) dijangka mencecah RM10 bilion pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

NONE Bagi 2009, jumlah dagangan dijangka berjumlah RM5 bilion.

"Kita yakin industri ini akan kembali berkembang dan terus meningkat walaupun pada tahun 2008 jumlah dagangannya telah jatuh ke RM4 bilion dari RM8 bilion pada tahun sebelumnya,” kata beliau sempena majlis penganugerahan syarikat Hai-O Enterprise Bhd.

Ismail Sabri berkata, industri MLM mempunyai potensi untuk berkembang dengan lebih pesat lagi jika dikawal dengan rapi melalui akta yang mantap.

Atas kesedaran tersebut pihak kementerian akan membentangkan pindaan Akta Jualan Langsung 1993 pada sidang Parlimen kali ini.

"Pindaan ini akan memudahkan pihak kementerian untuk mengambil tindakan terhadap syarikat atau pengedar yang melanggar akta tersebut,” katanya.

Antara tujuan pindaannya ialah untuk menjelaskan lagi pengertian skim piramid serta larangan bagi mana-mana orang mempromosikan skim tersebut, baik dari segi percetakan mahupun di dalam web dan sebagainya, tambah beliau.

- Bernama