Barisan kepimpinan MCA baru - 7 April
Presiden MCA yang baru dilantik Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dijangka akan membuat beberapa pelantikan ke jawatan tertinggi parti semasa mesyuarat jawatankuasa pusat parti (CC) yang pertama diadakan di bawah kepimpinannya pada 7 April ini.
Menurut sumber dalaman parti beliau dijangka akan mengumumkan pelantikan beberapa muka baru ke jawatan seperti setiausaha agung, bendahari agung, setiausaha penganjur nasional, bersama timbalan masing-masing, serta beberapa rombakan kecil bagi jawatan pengerusi perhubungan negeri.
Jawatan setiausaha agung ketika ini dipegang oleh Datuk Wong Foon Meng, yang dilantik oleh bekas presiden Datuk Seri Ong Tee Keat. Wong merupakan pengerusi MCA Selangor.
Seorang lagi pemimpin parti yang dilantik Tee Keat ialah Tan Sri Tee Hock Seng yang menghantar surat perletakan jawatan sebagai bendahari agung dua hari lalu, dan beliau juga adalah ketua MCA Wilayah Persekutuan.
Ada juga spekulasi yang timbul mengenai kemungkinan Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha (
kanan, tanpa kaca mata
) akan dilantik sebagai setiausaha agung walaupun beliau kalah di tangan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam perebutan jawatan timbalan persiden pada pemilihan Ahad lalu.
Beberapa anggota parti percaya perlantikannya sebagai ketua jentera pemilihan MCA untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor merupakan petanda awal yang beliau akan dilantik ke jawatan setiausaha agung.
Jawatan untuk penyokong kuatnya
Selain itu salah seorang pemimpin yang merupakan penyokong kuat Chua, Datuk Seri Tan Chai Ho juga dikatakan akan dilantik sebagai setiausaha agung yang baru, di samping dilantik ke jawatan pengerusi MCA Wilayah Persekutuan.
Tan (
kiri, berbaju petak-petak
) adalah pengerusi MCA Wilayah Persekutuan sebelum kepimpinan parti di bawah Tee Keat memutuskan untuk melantik Tee sebagai pengerusi baru.
Bekas setiausaha politik Chua, Tee Siew Keong juga dikatakan akan dilantik sebagai Setiausaha Penganjur Nasional, menggantikan seiausaha politik Tee Keat, Simon Lim. Siew Keong ketika ini ialah timbalan Setiausaha Penganjur Nasional.
Beberapa pemimpin yang ditewaskan dalam pemilihan Ahad lalu juga dijangka akan dilantik menganggotai CC, antaranya ialah dua calon yang bertanding ke jawatan Naib Presiden, Datuk Edward Khoo dan Datuk Yeow Chai Tiam.
Tiada calon dari Negeri Sembilan terpilih menganggotai CC pada pemilihan Ahad lalu, membuatkan ramai pemerhati politik percaya Yeow akan dilantik bagi memastikan negeri itu mempunyai wakilnya dalam CC.
Ketua wanita - telur di hujung tanduk
Khoo, yang merupakan pembantu menteri di pejabat Ketua Menteri Sabah, juga dikatakan akan dilantik sebagai pengerusi MCA Sabah yang baru disebabkan sokongannya kepada Chua, manakala Yeow dijangka akan dikekalkan sebagai pengerusi MCA Negeri Sembilan.
N
aib presiden yang baru dilantik Datuk Donald Lim Siang Chai pula dijangka akan dilantik ke jawatan pengerusi MCA Selangor yang baru menggantikan Wong.
Sementara itu perhatian ramai pastinya tertumpu kepada ketua wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun ( kanan ) apabila pergerakan itu dijadualkan mengadakan mesyuarat CC sendiri sehari selepas mesyuarat CC parti pada 7 April.
Wanita MCA dijadualkan mengadakan mesyuarat CC pada 8 April.
Chew kini menjadi tumpuan ramai selepas pemilihan parti lalu berikutan kenyataan kerasnya mengenai DVD skandal seks Chua, sehingga sanggup meletak jawatan sekiranya Chua dipilih menjadi presiden parti.
Bagaimanapun oleh kerana kepimpinan baru dilihat ingin mengekalkan keharmonian supaya tidak menimbulkan rasa tidak puas hati mana-mana pihak dalam parti, Chew dijangka tidak akan meneruskan hasratnya itu selepas Chua semalam secara terbuka berkata beliau tidak menaruh sebarang rasa dendam terhadap kenyataan keras Chew itu.
- Bernama

