Kes air: Selangor diberi 14 hari
Penasihat Undang-undang negeri Selangor diberi tempoh 14 hari bagi memfailkan hujahannya dalam kes semakan kehakiman yang dibuat oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 yang lain berhubung dokumen perjanjian air di antara kerajaan negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Mahkamah Tinggi menangguhkan keputusannya dalam kes itu hari ini selepas Penasihat Undang-undang negeri Selangor gagal mengemukakan hujahan bertulis.
Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali menetapkan 4 Mei untuk sebutan kes dan memberikan tempoh 14 hari bagi penasihat undang-undang untuk berbuat demikian.
Mohamed Apandi dalam keputusan di kamarnya memberitahu para peguam kedua-dua belah pihak bahawa sebelum mahkamah menetapkan satu tarikh bagi keputusannya, Syabas perlu menyatakan sama ada ia ingin menjadi pencelah dalam prosiding itu.
Pada 19 Jan, Mohamed Apandi telah mengarahkan semua pihak mengemukakan hujahan bertulis mereka sebelum 23 Mac.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu pemberita bahawa memandangkan Syabas merupakan pihak utama dalam perjanjian air, mahkamah ingin
tahu kedudukan mereka sebelum membuat keputusan muktamad.
Pada 15 Jan, 2007, MTUC dan 13 yang lain, termasuk dua kanak-kanak berumur10 dan 15, telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, bagi menuntut satu pengisytiharan bahawa laporan audit dan perjanjian konsesi antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan kerajaan negeri Selangor pada 15 Dis, 2004 adalah bukan sulit tetapi merupakan dokumen awam.
Para pemohon berkata sebagai pengguna air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, mereka mempunyai hak untuk mendapatkan akses kepada laporan audit dan perjanjian konsesi.
Mereka mendakwa laporan itu membentuk asas bagi kenaikan 15 peratus tarif air di Lembah Klang seperti diumumkan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Lim Keng Yaik pada 14 Okt, 2006.
Menurut mereka, sepucuk surat telah ditulis kepada menteri itu pada 7 Nov, 2006 meminta laporan audit dan perjanjian konsesi itu didedahkan tetapi telah ditolak oleh kementerian itu pada 4 Dis, 2006, atas dasar bahawa dokumen-dokumen itu diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia kerajaan.
Dalam permohonan semakan kehakiman, para pemohon itu juga memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan menteri untuk tidak mendedahkan kandungan kedua-dua dokumen dan satu mandamus untuk menteri mendedahkan kandungan-kandungan dokumen-dokumen itu kepada umum.
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan para pemohon itu pada 14 Jun, 2007 selepas mendapati bahawa permohonan semakan itu boleh dipertikaikan dan bukannya remeh.
MTUC dan para pemohon yang lain diwakili peguam bela Ang Hean Leng.
- Bernama

