Tiada lagi pembangunan baru di Bkt Fraser
Kerajaan Pahang tidak membenarkan lagi sebarang pembangunan baru dilaksanakan di pusat peranginan Bukit Fraser bagi mengelakkan kawasan itu dimusnahkan oleh aktiviti itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (
kanan, berbaju merah jambu
), berkata pembangunan yang dibenarkan hanyalah pembangunan dalam menaiktaraf sesebuah tempat di situ atau pembinaan semula kemudahan di atas kawasan yang sedia ada.
"Bukit Fraser tidak boleh dibangunkan lagi dan kalau mahu bangunkan juga hendaklah di kawasan yang telah dibangunkan seperti meningkat nilai tambah sesebuah hotel sedia ada atau nak bina hotel baru di tempat hotel lama atau menukarkan kawasan kebun dengan pembinaan hotel," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara agensi pelaksana pelancongan Negeri Pahang dan agensi penggiat pelancongan Negeri Pahang di Bukit Gambang Resort City di Kuantan hari ini.
Adnan berkata keputusan pemberhentian pembangunan di kawasan itu diambil pihaknya ketika mengadakan mesyuarat Exco dua minggu lalu.
Katanya sekiranya pembangunan di Bukit Fraser terus dilakukan, ia akan menyebabkan kemusnahan alam sekitar dan sistem ekologi di kawasan tanah tinggi itu.
"Kita telah saksikan banyak kemusnahan alam di seluruh dunia dan kalau terlebih pembangunan, kita akan hancurkan alam sekitar dan sebab itu kita kena kawal," katanya.
Mengenai pembangunan di Cameron Highlands pula, Adnan berkata pihaknya buat masa ini sedang memantau dengan teliti mengenai beberapa perkara seperti kedudukan tanah haram dan pembuangan sisa pepejal.
Beliau berkata walaupun pelbagai jenis pembangunan sudah dapat disaksikan di Cameron Highlands, namun kerosakan alam sekitar di kawasan tanah tinggi itu tidaklah begitu teruk.
Justeru katanya amat penting semua aspek diambil kira sekiranya sesebuah kawasan pelancongan mahu dibangunkan seperti daya tampung hotel, kawasan tempat letak kereta, bekalan air dan kemudahan lain.
- Bernama

