Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin terus mendakwa bahawa ada pemimpin PKR yang kurang senang dengan keputusan pucuk pimpinan parti itu memilih Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya Hulu Selangor.
"Ada yang tidak senang dengan pemilihan Zaid, antara mereka (naib presiden) Azmin Ali dan (Ketua Pemuda PKR) Shamsul Iskandar," kata Khairy dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Khairy ( kiri ) medakwa, Azmin juga khuatir dengan peranan lebih besar yang bakal dimainkan oleh Zaid sekiranya dia dilantik sebagai ahli parlimen.
"Laporan Reuters memetik bahawa Zaid akan menggantikan Anwar. Jika dia menang pilihan raya kecil itu, dia akan duduk bersebelahan dengan Anwar. Mana Azmin nak pergi?
"Saya menjangkakan Azmin akan terguris dan sedih dengan perkembangan ini. Sebab itu mungkin saya lihat semasa di parlimen semalam dia agak sedih,” dakwa Khairy.
Mengenai Shamsul, Khairy berkata laporan
The Star
memetik bahawa pemimpin akar umbi PKR kecewa berhubung pemilihan Zaid.
Sejak akhir-akhir ini, Khairy, bersama Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong dan Exco Pemuda Umno, Abdul Rahman Dahlan, mendakwa di halaman Twitter masing-masing bahawa pemilihan Zaid menyebabkan keretakan di PKR.
Diminta bukti bagi dakwaannya itu, Khairy berkata pendedahannya itu berdasarkan khabar angin yang diterima oleh penduduk tempatan Hulu Selangor.
"Ini adalah apa yang kami dengar. Kami menerima laporan daripada penduduk tempatan yang tidak berpuas hati,” katanya.
