Sekali pandang, kematian seorang lelaki dalam sebuah kereta yang terbabas di Jalan Paboi di Bukit Mertajam pagi tadi adalah akibat kemalangan jalan raya tetapi dia sebenarnya dipercayai mati dibunuh.

    

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt Shafien  Mamat berkata mayat Lim Gim Beng, 52, berasal dari Taman Alma, Bukit  Mertajam, ditemui oleh orang awam yang memaklumkan kepada polis pada 4.10 pagi tadi.

    

"Cawangan Trafik terima panggilan dari orang awam memaklumkan terdapat sebuah kereta terbabas dan pemandunya mati.

    

"Tetapi sebaik pemeriksaan dilakukan, polis mendapati terdapat tiga kesan pukulan di belakang kepala dan percaya ia bukan kesan kemalangan jalan raya," katanya kepada pemberita di sini  hari ini.

    

Shafien berkata polis menemui seketul batu dengan kesan darah berhampiran kereta Lim, yang bekerja sendiri.

Katanya polis mengesyaki kereta yang dipandu oleh Lim telah dihimpit oleh  kenderaan yang dipandu oleh penjenayah sehingga dia terbabas sebelum diserang.

"Polis turut menemui satu nombor pendaftaran dipercayai daripada kereta suspek," kata Shafien.

    

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di plaza tol dekat tempat kejadian.

    

Mayat Lim dihantar ke Hospital Sungai Bakap di sini untuk dibedah siasat.

- Bernama