Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bung, Zizie mengaku bersalah berpoligami
Diterbitkan:  Apr 20, 2010 5:49 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dan isteri, pelakon Zizie Izette Abdul Samad mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan berkahwin tanpa kebenaran mahkamah, hujung tahun lalu.

NONE Bung Moktar, 51, dituduh berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan Zizie, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50

malam, 16 Dis tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Zizie juga dituduh berkahwin dengan Bung Moktar tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di alamat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, Zizie didakwa bersubahat dalam kes Bung Moktar berpoligami tanpa kebenaran mahkamah manakala Bung Moktar dituduh bersubahat dengan pasangannya berkahwin tanpa kebenaran.

NONE Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudiannya melepaskan pasangan itu

dengan bon jaminan lisan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei depan bagi Peguam Amli Embong yang mewakili pasangan itu mengemukakan rayuan bertulis.

Sementara itu di mahkamah yang sama, dua abang dan adik Zizie Izette serta dua yang lain mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam kes berpoligami itu.

Abang, adik, rakan dituduh bersubahat

Ahmad Shahazmi Abdul Samad, 48, Samzy Fuzette Abdul Samad, 34, Shaheizy Sam Abdul Samad, 27, dan dua rakan anggota Parlimen Kinabatangan itu, Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Ahmad Shahazmi turut menghadapi pertuduhan lain iaitu mengakadnikahkan adiknya, Zizie dengan Bung Moktar tanpa mendapat kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah daerah Gombak Timur.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 40 (1) (a) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, kedua-dua adiknya, Samzy dan Shaheizy didakwa mengambil bahagian sebagai saksi dalam pernikahan Zizie dan Bung Moktar tanpa kebenaran pendaftar.

Semua mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu dilepaskan dengan bon jaminan lisan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Hakim Mahyuddin turut menetapkan 18 Mei depan bagi Peguam Amli Embong mengemukakan rayuan bertulis.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syariah Bahagian Selangor Shafezan Rusli dan Zusyarafain Yusof.

- Bernama

   

ADS