Siasatan punca nahas pesawat Pilatus PC-7 Mark II yang terhempas di kawasan hutan dekat Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia di Sintok dan mengorbankan nyawa seorang juruterbang pada 25 Mac lalu kini hampir selesai.

pilatus aircraft Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata, keputusan dijangka diketahui dalam tempoh 10 hari lagi dan akan dimaklumkan kepada pihak atasan di Kementerian Pertahanan untuk tindakan selanjutnya.

"Kita baru dapat rakaman data penerbangan dari Amerika Syarikat dan Switzerland seminggu lepas dan siasatan kini telah 90 peratus selesai,” katanya kepada pemberita selepas Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, dekat Alor Star hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini mengenai insiden yang mengorbankan juruterbang pesawat itu, Mejar Muhammed Zulrihan Jusof yang juga jurulatih di KTU.

Menurut kenyataan kementerian berkenaan, pesawat malang itu terhempas kira-kira 12 minit selepas berlepas dari pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia di Kepala Batas bagi tujuan latihan.

- Bernama