Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah rakyat perlu berfikiran terbuka dan menilai proses pembangunan serta pemodenan secara bijak.

Baginda bertitah sikap positif rakyat terhadap pembangunan dan pemodenan adalah penting bagi memastikan Perlis tidak ketinggalan dalam cabaran ekonomi.

Bertitah merasmikan Kompleks Arau dekat Kangar malam tadi, baginda mengalu-alukan syarikat-syarikat besar melihat Perlis sebagai lokasi perniagaan kerana potensinya yang tinggi.

"Kewujudan pelbagai Institusi Pengajian Tinggi serta cadangan pembangunan Bandar Ulu Pauh tidak lama lagi akan menghasilkan limpahan pembangunan sosio-ekonomi setempat, sekali gus menghasilkan pembangunan kawasan dan pertambahan pasaran," titah baginda.

Baginda yakin Kompleks Arau yang antara lain menempatkan pasaraya C-Mart, telah mewujudkan peluang pekerjaan dan tempat untuk memasarkan hasil perusahaan kecil dan sederhana di samping memberi satu lokasi alternatif untuk berbelanja.

Baginda turut menasihati rakyat agar sama-sama menjaga kebersihan di kawasan kompleks itu dengan menerapkan konsep 'mesra alam'.

Antara yang boleh dilakukan adalah program 'kitar semula' dan melaksanakan hari tanpa plastik pada hari-hari tertentu, titah baginda.

- Bernama