Sembilan laporan kejadian kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) diterima Kementerian Kesihatan sehingga jam 8 pagi tadi, membabitkan tujuh negeri iaitu Perak, Kelantan, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang.
Satu kes di Perak dicatatkan di Kampung Teluk Kepayang dan dua kes di Kelantan di Kem Program Latihan Khidmat Negara Pasir Mas dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok Pasir Mas.
Dua kes juga dilaporkan di Johor iaitu di Taman Skudai Baru dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat.
Satu kes dilaporkan di SMK Kuala Repas Bentong, Pahang; Sekolah Menengah Rendah Agama Repah di Negeri Sembilan; Felda Kemendor Jasin, Melaka dan Sekolah Jenis Kebangsaan Chin Shih Chung Sungai Nibung, Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan berkata jumlah kes ILI yang masih dirawat dalam wad di seluruh negara ialah 659 kes dan daripada jumlah itu 110 kes disahkan positif Influenza A (H1N1).
Dr Mohd Ismail berkata penularan Influenza A (H1N1) aktif bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini dan di seluruh dunia, justeru itu masyarakat diminta untuk sentiasa mengamalkan langkah pencegahan penularan.
- Bernama
