Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menafikan sebarang pembabitannya dalam Pos Malaysia Bhd, yang mengakibatkan syarikat itu mengalami kerugian RM546 juta sejak beberapa tahun lalu.

nor mohamed yakcop second finance minister "Saya tidak terbabit secara langsung dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh Pos Malaysia kerana sebagai sebuah syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat ini mempunyai lembaga pengarah dan keputusan ditentukan oleh lembaga pengarah termasuk Khazanah Nasional Bhd tanpa perlu merujuk kepada Kementerian Kewangan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang  

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di Georgetown hari ini, beliau berkata Khazanah

Nasional terlibat dalam membuat keputusan kerana mempunyai wakil dalam lembaga

pengarah syarikat tetapi mereka telah pun menjelaskan perkara itu sebelum ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan terbaru yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim bahawa Nor Mohamed sepatutnya memberi penjelasan mengenai kerugian yang ditanggung Pos Malaysia.

Bagaimanapun, mengenai dakwaan lain oleh Zahrain berhubung pelantikan lapan individu dari Danaharta Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam GLC, Nor Mohamed berkata tiada masalah berhubung pelantikan itu kerana mereka berkemampuan untuk menerajui jawatan itu.

"Perkara ini tidak seharusnya dijadikan isu kerana mereka yang dilantik berdasarkan kemampuan mereka, dan saya berpendapat kesemua mereka mempunyai kebolehan tersendiri untuk mengemudi tugas itu. Sebaliknya kita harus berbangga dengan kebolehan mereka sebagai anak Melayu yang dilantik menerajui GLC," katanya.

 - Bernama