Seramai 23 ahli politik disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lalu dan 15 daripada mereka telah didakwa di mahkamah.

suhakam human rights conference 090904 radzi with plaque Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad ( kiri, bertali leher merah ), berkata ia adalah antara 5,936 aduan dan maklumat berkaitan dengan rasuah yang diterima SPRM.

Katanya, hasil siasatan, hanya 939 kes daripada jumlah terbabit didapati berunsurkan rasuah dan daripadanya, 500 orang telah ditahan termasuk 23 orang ahli politik.

"Daripada jumlah yang ditahan itu, 174 termasuk 15 ahli politik telah didakwa di mahkamah kerana terbabit dalam gejala rasuah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu buat kali kedua di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Mohd Radzi berkata, daripada 174 kes itu, 79 telah disabitkan salah, 15 telah mengaku bersalah, dibebaskan (43), dilepas (9 - selepas membela diri di mahkamah), didakwa (23) dan kes yang ditarik balik (5).

Beliau berkata, SPRM turut membuat permohonan untuk menambah bilangan keanggotaan suruhanjaya terbabit.

"SPRM mensasarkan memperolehi lebih 5,000 anggotanya dalam tempoh 10 tahun. Pada tahun lalu mereka memohon pertambahan anggota sebanyak 900 orang namun hanya memperolehi seramai 76 orang sahaja," katanya.

Mohd Radzi berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan di bawah Akta SPRM bertujuan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai masalah rasuah di negara ini.

"Selain daripada itu, kita juga menerima laporan tahunan daripada lembaga penasihat yang ditubuhkan di bawah akta (SPRM) ini serta menerima ulasan daripada lembaga penasihat itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya perlu menyiapkan satu laporan terperinci hasil kajian terhadap laporan tahunan dan ulasan lembaga penasihat SPRM sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri sebelum sidang Parlimen yang bermula 7 Jun depan.

"Baru-baru ini kami telah terima dua laporan. Laporan pertama ialah laporan tahunan SPRM dan yang kedua ialah ulasan lembaga penasihat pencegah rasuah ini. Kami punya tugas mengkaji laporan ini dan ulasan... jika perlu kami akan dapatkan penjelasan dan penerangan lanjut daripada SPRM.

"Kita akan siapkan laporan kita sendiri sebelum Parlimen bersidang pada 7 Jun untuk membolehkan hasil laporan kami diserahkan kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri kemudiannya akan membentangkan laporan tersebut dalam persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara," katanya.

Beliau juga berkata, SPRM telah mencadangkan supaya suruhanjaya itu diberi peruntukan tambahan bagi membolehkan segala perancangan ke arah membendung gejala rasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"SPRM minta (bajet) RM324 juta dan bajet yang diperolehi adalah sebanyak RM156.8 juta iaitu 51.6 peratus daripada bajet yang diminta," katanya.

Anggota jawatankuasa yang hadir pada mesyuarat itu ialah Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Dr Tan Seng Giaw, Senator Ir Zamri Yusof, Ahli Parlimen Kota Belud dari Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan, dan Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Armani Mahiruddin.

Mesyuarat jawatankuasa itu akan bersambung 18 Mei ini.

- Bernama