Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lima belas minit yang berharga
Diterbitkan:  May 13, 2010 2:57 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Kunjungan kira-kira 15 minit oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bertemu peniaga dan meninjau sekitar Pasar Pusat Sibu hari ini menjadi detik yang sangat berharga kepada peniaga serta pengunjung yang ada di situ.

sibu by election 120510 najib at hoover mission house Sebaik sahaja beliau tiba di pintu masuk pasar berkenaan, teriakan "1Malaysia" memenuhi suasana, sekali gus mencerminkan penerimaan masyarakat terhadap falsafah Perdana Menteri untuk menyatupadukan setiap rakyat di negara ini.

"Ini kali ketiga beliau melawat ke pasar ini tahun ini dan saya berasa sangat bertuah kerana dapat bertemu sendiri dan bersalaman dengan beliau dalam ketiga-tiga lawatan itu," kata penjaja berusia 44 tahun, Sudan Imang.

Ketika ditemui di gerainya yang menjual pelbagai produk rimba yang dibawa dari pinggir bandar ini, Sudan menggambarkan Najib sebagai "Perdana Menteri paling berani" pada pengetahuannya, kerana mengetepikan protokol lazim dan mudah bergaul dengan orang kebanyakan seperti beliau.

"Saya tidak pernah mendapat peluang untuk bertemu dengan Perdana Menteri terdahulu tetapi selepas Najib menjawat jawatan ini, beliau telah tiga kali melawat kami dan saya yakin beliau seorang yang peramah," katanya.

Sebelum tinjauan mesra yang dilakukannya hari ini, Najib pertama kali melawat pasar pusat itu yang menempatkan kira-kira 1,500 penjaja pada Februari tahun ini, disusuli dengan lawatan kedua pada 2 Mei lalu.

Samia Salleh, iaitu antara segelintir penjaja Melayu yang berniaga di situ, berasa sangat bertuah apabila Najib singgah di gerainya yang menjual beraneka kuih dan sajian Melayu.

"Kami berbalas salam, Perdana Menteri bertanya mengenai perniagaan saya. Rasa lain sungguh bila melihat beliau di depan mata saya sendiri kerana selama ini saya hanya dapat melihat beliau di televisyen saja," katanya.

Juliana Johree, yang berkongsi pendapat dengan Samia, menggambarkan pengalaman beliau itu sangat mengujakan namun beliau berharap Perdana Menteri dapat singgah lebih lama lagi di pasar itu untuk berbual-bual dengan mereka.

Kata Juliana, beliau tidak sempat memberitahu Najib bahawa lebih ramai peniaga Melayu ingin berniaga di pasar itu tetapi peruntukan untuk lot niaga tidak mencukupi.

"Mungkin saya akan membangkitkan lagi perkara ini kepada Anggota Parlimen kami  

yang baru selepas pilihan raya kecil nanti," katanya.

Pengusaha van sewa, Kong Wei Seng, yang kebetulan singgah di Pasar Pusat itu untuk menurunkan penumpangnya, menyuarakan rasa terkejut dengan kunjungan terbaru Najib itu.

"Beliau datang lagi?" tanya Kong apabila diberitahu oleh Bernama tentang tinjauan mesra Perdana Menteri itu.

Namun begitu, beliau memuji inisiatif itu dan menyifatkannya sebagai mencerminkan satu daripada penambahbaikan yang dilaksanakan sejak Najib menjadi Perdana Menteri.

"Orang biasa seperti kami semakin mendapat perhatian beliau dan beliau selalu membawa berita gembira pada setiap kedatangannya," katanya.

Seorang pensyarah komunikasi dari Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir yang turut memerhatikan respons orang ramai terhadap lawatan itu, berkata program tinjauan mesra Najib menjadikan orang kebanyakan lebih rapat dengan beliau.

"Ini merupakan pendekatan yang berkesan dalam menjadikan Perdana Menteri lebih dekat di hati rakyat," katanya.

- Bernama

   

ADS